Pemandu kereta Perodua Bezza yang tular dikejar 28 unit peronda polis (MPV) dari Petaling Jaya ke Cyberjaya, dipenjara sebulan dan denda RM10,000 di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas dua pertuduhan memandu secara melulu dan menghalang tugas polis.
Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa menjatuhkan hukuman itu terhadap B. Anbarasan, 27 tahun, selepas tertuduh mengaku bersalah di atas dua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Bagi pertuduhan pertama memandu secara melulu, Anbarasan dihukum penjara sebulan dan didenda RM5,000 serta hilang kelayakan memandu selama lima tahun.
Sementara bagi pertuduhan kedua menghalang penjawat awam tertuduh didenda jumlah yang sama RM5,000.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini namun, sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda RM10,000 itu dia boleh dipenjara selama lapan bulan.