Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang dilaporkan hilang ketika bermandi-manda di Sungai Tok Hakim, Kuala Terengganu, petang semalam, ditemukan lemas pada pukul 11 pagi tadi.
Mayat Muhammad Harraz Ilman Mohd. Syahril Redhuan ditemukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di dasar sungai pada jarak 30 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar, berkata, mayat kanak-kanak itu dijumpai selepas hampir 17 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.
Difahamkan Muhammad Harraz datang ke lokasi berkenaan untuk bermandi-manda bersama adiknya, Muhammad Firas Wafiy, 9, dan seorang lagi rakan mereka.