Roger Ng yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana membantu menggelapkan berbilion ringgit kekayaan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan diserahkan kepada Malaysia untuk berdepan tuduhan di negara itu.
Ketua Hakim Daerah Amerika Syarikat (AS), Margo Brodie di Brooklyn semalam mengarahkan bekas pegawai bank Goldman Sachs menyerah diri kepada Perkhidmatan Marshal AS hari ini supaya dia boleh diserahkan kepada penguat kuasa undang-undang Malaysia.
Brodie menjatuhkan hukuman kepada Ng pada Mac lalu, iaitu 11 bulan selepas juri mendapati dia bersalah kerana membantu bekas bos Goldman, Tim Leissner mencuri wang 1MDB, mencuci hasil dana itu dan menyogok pegawai kerajaan untuk mendapatkan perniagaan.