Percutian ke Pulau Pinang yang sepatutnya menyeronokkan buat seorang wanita Indonesia berusia 36 tahun bertukar menjadi pengalaman ngeri selepas dia diculik dan dikurung selama 10 hari.
Lebih malang, wanita itu turut diikat dengan rantai besi, didera termasuk dicucuh puntung rokok dan dicucuk dengan jarum selain disebat dengan paip getah.
Bagaimanapun, penderitaan mangsa berakhir selepas dia berjaya diselamatkan polis dalam operasi Op Scorpion Rantai Penang pada 17 September lalu, ketika dikurung di sebuah rumah di Shah Alam, Selangor.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata siasatan awal mendapati, mangsa diculik disebabkan masalah hutang perniagaan yang ditanggung suaminya yang juga warga Indonesia berusia 47 tahun bersama seorang lelaki tempatan berjumlah RM540,000.