Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun diperkosa rakan lelakinya dalam kejadian di sebuah pangsapuri, 18 September lalu.
Dalam kejadian pada pukul 9.10 malam itu, mangsa dijemput suspek yang berusia 18 tahun untuk keluar makan di Desa Tasik, Sungai Besi kemudian dibawa ke sebuah pangsapuri.
Menurut sumber ketika dihubungi hari ini, remaja itu cuba melarikan diri namun gagal apabila suspek mengunci pintu kecemasan sebelum memperkosa mangsa.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan suspek kini ditahan bagi membantu siasatan.