Seramai 70,156 calon berjaya memperoleh tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA) peringkat Sarjana Muda lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau Setaraf bagi Sesi Akademik 2023/2024.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan, calon-calon yang berjaya boleh menyemak keputusan masing-masing mulai hari ini pada pukul 12 tengah hari hingga 16 September depan pada pukul 5.00 petang.
Katanya, sebanyak 118,143 calon membuat permohonan menerusi UPUOnline® namun pemilihan kemasukan calon kategori STPM/Matrikulasi/Asasi/STAM adalah berdasarkan prinsip meritokrasi dengan mengambil kira 90 peratus pencapaian akademik dan 10 peratus pencapaian kokurikulum.