Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh dikejutkan dengan penemuan kepala khinzir yang diletakkan di hadapan Bilik Gerakan DUN Juasseh Perikatan Nasional (PN) pagi tadi.
Calon PN DUN Juasseh, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, kepala khinzir tersebut ditemukan kira-kira pukul 7.15 pagi tadi dan diletakkan di atas bendera parti berkenaan, malah dimaklumkan kepala haiwan itu turut diletakkan di rumah pegawainya di sekitar daerah ini.
Dalam pada itu, Eddin Syazlee yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kuala Pilah berkata, tindakan provokasi seperti itu tidak wajar berlaku ketika ini di mana pendekatan berpolitik sepatutnya lebih matang.