Kinoshi puji semangat juang pasukan

Kinoshi puji semangat juang pasukan

Selangor FC, Ronnie Fernandez cuba melepasi kawasan dua pemain pertahanan Terengganu FC dalam saingan Liga Super 2024/2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang berkesudahan Gergasi Merah menang 1-0, kelmarin. Gambar; MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Jurulatih Selangor FC, Kinoshi Katsuhito menyifatkan kemenangan 1-0 ke atas Terengganu FC (TFC) sebagai salah satu pencapaian terbesar pasukannya musim ini.

Menurutnya, kemenangan tersebut bukan sahaja hasil strategi taktikal yang berkesan, tetapi juga kerana semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya di atas padang.

“Saya sangat berpuas hati dengan kemenangan ini. Pemain muda dan mereka yang kurang mendapat minit permainan menunjukkan disiplin tinggi dan menghormati arahan taktikal.

Mereka membentuk blok pertahanan yang baik untuk menyekat serangan lawan,” katanya selepas perlawanan.

Beliau turut memuji kekentalan mental pemainnya dalam memastikan Selangor FC tidak kehilangan mata berturut-turut selepas kekalahan dalam aksi sebelum ini.

“Sebagai sebuah pasukan profesional, kami sedar kepentingan untuk bangkit. Kami menjalani latihan yang rapi, termasuk aspek taktikal menyerang dan bertahan. Hasilnya, kami berjaya meraih tiga mata penting ini,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengulas mengenai pemain yang dipanggil untuk tugasan antarabangsa, menyifatkan perkara tersebut sebagai cabaran yang perlu diuruskan dengan baik.

“Apabila pasukan anda kuat, pasti ada pemain yang dipanggil mewakili negara. Itu adalah sesuatu yang membanggakan dan saya akan sentiasa menyokong mereka.”

Kemenangan ini menyaksikan Selangor FC terus mengukuhkan kedudukan di tempat kedua dalam saingan Liga Malaysia musim ini, sekali gus memberi keyakinan tinggi kepada pasukan untuk meneruskan rentak positif dalam perlawanan seterusnya.

Sementara itu, ketua jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali mengakui pasukannya terpaksa menelan hakikat pahit selepas dihukum pada saat akhir.

Katanya, barisan pemain telah berusaha sehabis baik, namun kelekaan di penghujung perlawanan menyaksikan mereka kecundang di tangan pasukan lawan yang terkenal dengan ketajaman penyudahnya.

“Kita sangat kecewa kerana tidak mengambil peluang yang ada dan akhirnya dihukum pada minit terakhir. Walau bagaimanapun, saya tetap berpuas hati dengan kesungguhan pemain yang telah memberikan aksi terbaik mereka,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya