Sawda pasang impian gegar dunia

Sawda pasang impian gegar dunia

SAWDA Hasbullah bergambar bersama pingat emas acara pecut individu wanita remaja-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA sekadar minat dan mahu mengisi masa lapang,namun kini Sawda Hasbullah ‘meluncur’ laju di arena berbasikal trek negara dengan impian besar di pentas antarabangsa.

Bagi atlet muda ini, segalanya bermula pada 2017 ketika dia menyertai Kejohanan Junior Cycling Malaysia buat julung kalinya, dan sejak itu, berbasikal trek menjadi dunia baharunya.

“Saya mula menceburi sukan berbasikal trek pada tahun 2017 menerusi Kejohanan Junior Cycling secara profesional.

“Kemudian, pada 2020, saya mewakili Kedah dan mereka membawa saya menjalani latihan di Velodrom Nasional, Nilai kerana adanya Kejohanan Junior Cycling ketika itu,” kata Sawda kepada Mingguan Malaysia.

Malah, semangatnya semakin membara apabila abangnya, yang juga pelumba berbasikal trek negara, Umar Hasbullah, meraih pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou 2022.

Menurutnya, kejayaan abangnya itu menjadi pemangkin buatnya untuk terus bekerja keras, sekali gus mahu menjadi jaguh dalam sukan berbasikal trek.

SKUAD berbasikal wanita trek negara, Nurul Akhma Atiqah Ahmed Haizan, Nur Umairah Qhaisara Zulfikha dan Sawda Hasbullah bergambar bersama pingat perak acara pecut berpasukan remaja pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 di Velodrom Nasional Nilai. – UTUSAN/AMIR KHALID

“Keluarga saya menjadi inspirasi utama saya terutamanya abang saya, Umar.

“Beliau telah meraih pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou 2022 memberikan saya semangat untuk memberikan yang terbaik didalam sukan ini,” katanya.

Kini, Sawda menjalani latihan intensif di Majlis Sukan Negara (MSN) sambil membawa cabaran negeri kelahirannya, Melaka dalam kejohanan tertentu.

Baginya, cabaran utama bukan sekadar di trek tetapi juga dalam mengekalkan disiplin pemakanan dan rehat, lebih-lebih lagi kerana dia masih bersekolah.

“Menyeimbangkan pelajaran dan latihan bukan mudah, tetapi saya sudah terbiasa,” ujarnya.

Antara momen paling manis dalam kariernya ialah ketika meraih pingat emas dalam acara ujian masa 1 kilometer (km) pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 minggu lalu, sesuatu yang tidak pernah dibayangkannya.

Lebih menarik, Sawda mencatatkan masa 1 minit 10.818 saat, sekali gus memecahkan rekod Asia dalam kategori remaja selain catatan masa itu juga menjadi rekod dunia.

“Sebaik sahaja mengetahui kemenangan itu, saya dan rakan sepasukan, Nur Allysha, berpelukan sambil menahan air mata kegembiraan,” kenangnya.

Namun, bagi Sawda, ini baru permulaan, dan masih banyak lagi impian yang ingin dikejarnya.

“Saya berharap dapat melangkah lebih jauh dalam kejohanan yang akan datang dan seterusnya melayakkan diri ke kejohanan yang lebih besar,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya