Vietnam lantik Presiden ketiga dalam setahun - Utusan Malaysia

Vietnam lantik Presiden ketiga dalam setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: Vietnam bakal melantik Presiden negara ketiga dalam tempoh kurang setahun selepas Vo Van Thuong mengumumkan peletakan jawatan, Rabu lalu. 

Parlimen Vietnam menjalankan mesyuarat dalam sesi tergempar hari ini bagi menerima peletakan jawatan Thuong. 

Dijangka, pemangku Presiden akan dilantik sehingga Parti Komunis Vietnam memutuskan calon yang berkelayakan.  

Menurut beberapa penganalisis politik, antara nama yang disebut-sebut menjadi pilihan ialah Naib Presiden, Vo Thi Anh Xuan. 

Xuan terpaksa dilantik tahun lalu, bagi menggantikan sementara bekas Presiden, Nguyen Xuan Phuc yang dipecat secara tiba-tiba. 

Calon utama bagi jawatan itu termasuk Menteri Keselamatan Awam, To Lam dan veteran parti, Truong Thi Mai. 

Dalam masa sama, bekas ketua parti itu dilihat berkemungkinan berminat dengan jawatan ketua parti yang akan direbut pada 2026.  

Peletakan jawatan Thuong dikatakan atas dasar tanggungjawab kepada parti, negara dan rakyat. 

Jawatankuasa pusat parti itu sudah meluluskan peletakan jawatan Thuong hanya kira-kira setahun selepas pemilihannya. 

Thuong, 53, meletakkan jawatan beberapa hari selepas polis Vietnam mengumumkan penahanannya atas dakwaan rasuah terhadap bekas Ketua Wilayah Quang Ngai di Vietnam, sedekad lalu. 

Kestabilan politik di Vietnam adalah penting kepada syarikat multinasional dengan operasi besar perniagaan di hab pembuatan Asia Tenggara, termasuk Samsung Electronics dan Apple yang mempunyai banyak pembekal utama di negara ini. 

Pelaburan langsung asing (FDI) terkumpul mencatatkan rekod yang lebih tinggi berbanding keluaran dalam negara kasarnya (KDNK). 

Krisis politik semasa mungkin dapat diselesaikan dengan pemilihan presiden baharu, tetapi rombakan berulang kali pemimpin tertinggi menjejaskan sentimen perniagaan di negara yang sangat bergantung kepada pelaburan asing.

Bursa saham Ho Chi Minh City, bursa utama negara, susut hampir tiga peratus, Isnin lalu, selepas berita peletakan jawatan presiden mula tersebar. 

Penganalisis bersetuju perubahan kepemimpinan semasa tidak akan memberi kesan kepada dasar utama negara, termasuk ‘diplomasi buluh’ yang bertujuan menjaga hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS) dan China. -REUTERS   

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya