PETALING JAYA: Aksi persahabatan antara Harimau Malaya dan Syria yang berlangsung awal pagi tadi berkesudahan dengan skuad negara berjaya mengikat lawan dengan keputusan 2-2.
Perlawanan pemanas badan sebelum kempen Piala Asia 2023 itu menyaksikan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon menurunkan pemain terbaik dalam kesebelasan utama pasukan.
Dalam masa yang sama, Syria yang dibimbing, Hector Cuper tampil dengan strategi tersendiri untuk memburu kemenangan bagi memberi tonik tambahan sebelum beraksi di kejohanan yang sama.
Skuad Qasioun Eagles beraksi dengan cukup baik pada 15 minit pertama perlawanan, namun Harimau Malaya berjaya memperoleh jaringan menerusi jaringan Arif Aiman Hanapi pada minit ke-39.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 1-0 dan bersambung babak kedua, Syria yang berada pada ranking ke-91 dunia mula rancak mencari gol untuk menyamakan kedudukan.
Hasilnya, penyerang berbisa Syria, Pablo Sabbaq berjaya mengikat kedudukan menjadi 1-1 pada minit ke-70 sebelum Ibrahim Hesar menggandakan kedudukan empat minit kemudian.
Bagaimanapun, pemain naturalisasi negara, Paulo Josue mengubah cerita perlawanan apabila meledak gol kedua Harimau Malaya untuk mengikat kedudukan 2-2.
Pada September lalu, Harimau Malaya dan Syria juga terikat 2-2 dalam aksi Persahabatan Tier 1 yang berlangsung di Chengdu, China.
Malaysia bakal membuka tirai perlawanan Piala Asia berdepan Jordan pada 16 Januari 2024 di Stadium Al-Janoub.