JOHOR BAHRU: Pengendali sementara Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berpendapat pasukan itu perlu melakukan rombakan sekiranya mahu bersaing dengan kelab besar lain dalam saingan Liga Super atau sekurangnya berada dalam kelompok enam pasukan terbaik.
Menjadikan perlawanan menentang juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai indikator, Akmal Rizal melihat terdapat jurang perbezaan kualiti antara kedua-dua pasukan yang menyaksikan skuada Harimau Kumbang itu dibelasah 0-8 pada perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Bekas penyerang skuad kebangsaan berusia 41 tahun itu berkata, kekalahan itu dianggap satu pengajaran berguna untuk pemain dan dirinya agar perlu mempersiapkan pasukan yang lebih bersedia untuk menghadapi mana-mana pasukan bersar di saingan liga.
“Ketika ini pihak pengurusan Penang FC belum buat keputusan sama ada saya kekal atau ada jurulatih lain akan amik alih tugas sebagai ketua jurulatih, tetapi jika ada rezeki dan kepercayaan diberikan kepada saya, saya pasti akan melakukan banyak perubahan dan memperbaiki kelemahan di bahagian tertentu.
“Saya bertekad akan mengubah bola sepak Penang FC sekiranya diberikan tanggungjawab menerajui pasukan untuk musim depan menjadi pasukan yang jauh lebih baik daripada apa yang dihadapi dalam tiga musim kebelakangan ini.
“Alhamdulillah, dalam tiga perlawanan terakhir ini, kita berjaya mengutip empat mata dan pada perlawanan ini semua pihak pengurusan dapat lihat sendiri banyak yang perlu kita lakukan untuk menyediakan pasukan di musim depan jika kita mahu tergolong dalam kelompok empat atau enam pasukan terbaik,” katanya.
Penang FC menamatkan saingan Liga Super musim ini dengan mengumpul 24 mata setelah merekod enam kemenangan, enam seri dan 14 kekalahan daripada 26 perlawanan.
Pengendali yang berasal dari Jitra, Kedah itu berkata, kontraknya bersama skuad Harimau Kumbang masih berbaki setahun menyerahkan segalanya di tangan pihak pengurusan sama ada khidmatnya masih diperlukan atau sebaliknya.
“Sekiranya pengurusan berhasrat untuk membawa ketua jurulatih baharu, saya bersedia untuk berkerjasamanya dengan berbekalkan pengalaman sebagai bekas pemain dan pembantu jurulatih sebelum. Saya tidak kisah di mana akan ditempatkan, saya akan berkerja untuk menaik taraf bola sepak Penang FC,” katanya.
Mengulas mengenai perlawanan menentang JDT, katanya ketiadaan tiga tonggak import iaitu kapten Rafael Vitor, Adriano Narcizo dan Soony Saad memberi kesan kepada persembahan pasukan apabila mudah dijinakkan juara Liga Super ini dengan menghasilkan lima gol di babak pertama.
“Kita kena realistik pada perlawanan malam tadi kerana kita tahu jurang antara pemain Penang FC dan JDT. Bagaimanapun, pemain sudah bertungkus lumus mengikut pelan yang kita atur namun perbezaan dari segi pengalaman membezakan aksi yang berlaku di padang apabila JDT menghukum kesilapan pemain kita,” katanya.-UTUSAN