DATANG seribu orang pun yang bercakap kononnya industri seni tidak memandang rupa, namun hakikatnya tidak semua mempunyai pemikiran semurni itu. Asal ada peluang mengecam, peluru kata-kata dihamburkan.
Mangsa terkini, penyanyi, Lia Aziz menerima kecaman lantaran perubahan saiz tubuhnya yang dikatakan berbeza dari awal kemunculan. Semakin berisi, gemuk dan macam-macam lagi kecaman diterima.
Namun dalam pada yang mengecam, nyata masih ada yang cuba mempertahankan Lia namun komen tersebut menimbulkan tanda tanya, adakah berat badannya naik kerana sedang hamil anak pertama?
Jawablah mendapatkan penyanyi yang popular dengan lagu Kucu Kuca, Lia Aziz!
J: Kalau kita lihat susunan lagu-lagu yang dilancarkan Lia beberapa tahun ini, banyak yang bergenre balada. Jauh daripada genre pertama, Kucu Kuca yang berentak catchy dan lebih ‘muda’?
L: Betul, lagu baharu saya Kerana Sebuah Cinta juga bergenre balada. Sebelum ini saya ada dua lagu duet, bersama Khai Bahar dan Asfan yang kedua-duanya genre balada juga. Lari jauh daripada Kucu Kuca.
Sebenarnya Kerana Sebuah Cinta adalah demo pertama yang saya terima ketika mula-mula mahu jadi penyanyi. Tetapi ketika itu, syarikat pengurusan berpendapat lebih baik kita keluar dengan lagu rancak.
Selepas kejayaan Kucu Kuca, barulah saya berani untuk keluarkan single balada. Ada hikmahnya jugalah bila Kucu Kuca menjadi lagu pecah tanah saya dalam industri seni muzik tempatan.
J: Ada penyanyi yang takut mencuba genre lain kerana risau peminat lari. Macam Lia sendiri, cukup berani ya bertukar genre?
L: Sebagai penyanyi, saya kena berani mencuba. Tak boleh selesa dengan satu genre sahaja. Lama-lama peminat akan bosan dan anggap saya ini penyanyi yang tidak mahu keluar daripada zon selesa.
Tetapi itu tidak bermakna saya akan terus nyanyi lagu balada dan pop sahaja. Saya sebenarnya mahu juga mencuba beberapa genre lain. Mungkin dangdut atau irama tradisional. Apa salahnya bereksperimen kan?
J: Kita loncat ke soalan panaslah. Baru-baru ini, tular sebuah video dengan komen-komen yang cukup tidak manis. Ada segelintir warganet yang mengecam perubahan saiz tubuh Lia sekarang? Macam bodyshaming Lia.
L: Tahu dah, takkan nak tanya pasal lagu baharu sahaja kan. Saya ambil maklum dengan komen-komen sebegitu. Memang saya akui, sekarang saiz badan memang bereza apatah lagi jika dibandingkan ketika awal kemunculan.
Tak terfikir pula ada yang akan bodyshaming dan dengan mudah mengecam orang lain. Bukan saya sahaja, rasanya ramai rakan-rakan industri seni malah individu di luar sana juga terpalit isu sama.
Tak apalah, saya sedar diri. Memang berat badan naik dengan gembiranya. Saya memang suka makan. Namun dalam pada masa sama, saya juga ketika ini sedang menurunkan berat badan. Azab ya usaha itu.
J: Adakah Lia terasa dan berkecil hati dengan komen-komen tersebut sehingga memaksa diri untuk berdiet? Yelah, kadang-kadang komen netizen ini tajamlah lebih daripada sebilah pisau yang baru diasah.
L: Tidaklah, saya tidak terasa atau berkecil hati dengan komen-komen sebegitu. Sebab saya sendiri tahu penambahan berat badan itu. Tetapi saya mahu turunkan berat badan untuk kesihatan diri sendiri.
Cuma dalam keadaan apa sekalipun, kita tidak seharusnya meninggalkan komen dengan kata-kata yang mungkin mengguris hati sesiapa. Berhati-hati dengan kata-kata. Mungkin saya tidak terasa, tetapi bagaimana dengan orang lain?
J: Ada juga yang datang mempertahankan Lia dengan komen yang Lia kini sedang berbadan dua? Betul ke?
L: (Ketawa) Niat sudah baik tetapi lain pula ceritanya. Doakan saya ya, insya-Allah semoga dikurniakan rezeki zuriat untuk saya dan suami.
Saya ambil positif sahaja setiap komen ataupun kecaman. Bagi saya, itu adalah lumrah manusia. Bukan artis sahaja kena kecam sekarang, individu lain juga boleh ‘diserang’ bertubi-tubi.