KLFA anjur liga bola sepak wanita

KLFA anjur liga bola sepak wanita

PRESIDEN KLFA, Khalid Abdul Samad (tiga dari kanan) merasmikan Liga Bolasepak Wanita KLFA 2023 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) tampil dengan inisiatifnya yang tersendiri dengan menganjurkan liga bola sepak wanita bagi memartabatkan sukan itu dalam golongan wanita.

Kejohanan berkenaan akan bermula pada 17 Februari ini sehingga 4 Mac depan di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya dan akan melibatkan lima pasukan dari sekitar lembah klang.

Pengerusi kejohanan, Nor Asyikin Jaafar berkata, liga itu dianggap permulaan yang baik bagi mencungkil bakat baharu yang diharap dapat melahirkan pemain bola sepak wanita yang berbakat.

“Matlamat utama liga adalah untuk menarik minat golongan wanita agar lebih cenderung untuk menyerlahkan bakat mereka dalam sukan bola sepak selain menceburi bidang kejurulatihan dan pengadil wanita yang berkaliber.

“Jadi, KLFA menganjurkan Liga Bolasepak KLFA 2023 bagi menguji dan seterusnya memilih lebih ramai pemain berpotensi untuk wakili Kuala Lumpur dalam Liga Wanita Nasional anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Lima pasukan yang akan terlibat dalam liga ini ialah Naj FC, Wangsa Maju FC, Mix Star FC, Wonder Girls FC dan Sternen FC,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Liga Bolasepak Wanita KLFA 2023.

Yang turut hadir Presiden PBKL, Khalid Abdul Samad, Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Selain itu katanya, kejohanan yang mendapat tajaan Kicka, Molten dan LBN Beras itu juga antara lain bagi menyokong pelan pembangunan bola sepak wanita seperti yang direncanakan oleh FAM.

Dalam pada itu, Khalid berkata, pihaknya pada tahun hadapan akan cuba meningkatkan jumlah hadiah bagi menarik lebih banyak penyertaan dalam kejohanan berkenaan.

“Tahun ini, johan akan menerima RM4,000, naib juara RM3,000, ketiga RM2,000, keempat RM1,000 dan kelima RM500. Pada tahun hadapan kita angkat naikkan jumlah wang kemenangan untuk tarik lebih banyak penyertaan,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya