'Sang juara' bermula garang - Utusan Malaysia

‘Sang juara’ bermula garang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan saingan Liga Malaysia musim ini dengan langkah bergaya apabila menundukkan Kedah Darul Aman (KDA) 2-0 dalam perlawanan pertama liga yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.

Jaringan kemenangan JDT disumbangkan oleh Safawi Rasid pada minit ke-35 dan Natxo Insa pada minit ke-67.

Kemenangan itu turut menyaksikan skuad Harimau Selatan mengekalkan penguasaan mereka dalam Piala Sumbangsih buat kali keempat berturut-turut sejak 2018.

JDT sebelum ini turut menjulang Piala Sumbangsih pada 2015 dan 2016.

Kemenangan itu menyaksikan JDT mengutip tiga mata pertama, sekali gus mendahului senarai Liga Super musim ini.

PEMAIN JDT meraikan gol pembukaan yang dijaringkan Safawi Rasid ketika menentang Kedah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri hari ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Piala Sumbangsih yang juga dikenali sebagai Piala Sultan Haji Ahmad Shah itu dijulang pemain dan pengurusan kelab selari dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu.

Perlawanan bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan mengatur serangan dan beroleh beberapa percubaan berbahaya di pintu gol lawan masing-masing.

Dua percubaan awal tuan rumah bagaimanapun sekadar menggegar gawang, masing-masing pada minit keempat dan ke-10, menerusi percubaan Leandro Velazquez serta Gonzalo Cabrera.

Percubaan berbahaya pertama Kedah muncul pada minit ke-18 apabila rembatan kencang Tchetche Kipre berjaya ditepis  penjaga gawang JDT, Farizal Marlias.

Kedua-dua pasukan selepas itu terus mengatur gerakan dalam percubaan  mendapatkan jaringan sebelum JDT memecah kebuntuan pada minit ke-35.

Jaringan yang terhasil daripada sepakan penjuru itu disempurnakan Safawi yang menerima hantaran Afiq Fazail dalam kotak penalti.

PEMAIN JDT meraikan gol kedua yang disempurnakan oleh Natxo Insa (dua dari kiri). – IHSAN JOHOR SOUTHERN TIGERS

Gol kedua tuan rumah diperoleh pada minit ke-67 apabila percubaan rendah Natxo Insa dari luar kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol Kedah, Shahril Sa’ari.

Kedua-dua pasukan terus mengasak sehingga akhir permainan, namun keputusan 2-0 kekal sehingga wisel penamat ditiup pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin.

Terdahulu, sebelum perlawanan, JDT menerima lima Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 20 Virtual iaitu Penjaga Gol Terbaik, Farizal Marlias; Pertahanan Terbaik, Aidil Zafuan; Pemain Tengah Terbaik, Safawi Rasid; Jurulatih Terbaik 2020, Benjamin Mora dan Pasukan Terbaik 2020.

Turut hadir menyaksikan perlawanan, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik JDT.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya