Tujuh sungai Johor Bahru dalam senarai paling tercemar di Malaysia - Utusan Malaysia

Tujuh sungai Johor Bahru dalam senarai paling tercemar di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak tujuh sungai di daerah ini kekal berada dalam senarai sungai paling tercemar di Malaysia selepas dikesan masih berada pada tahap keempat dan kelima.

Bagaimanapun, jumlah tersebut menunjukkan penurunan ketara berbanding 28 sungai yang direkodkan berada pada tahap sama pada tahun 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Ling Tian Soon berkata, sungai itu membabitkan Sungai Sengkuang, Sungai Segget, Sungai Danga, Sungai Tukang Batu, Sungai Kempas, Sungai Pandan dan Sungai Tampoi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi mengatasi masalah itu, satu inisiatif baharu menerusi kerjasama pelbagai agensi kini dilaksanakan menggunakan kaedah rawatan eco enzyme (enzim mesra alam). Sebagai permulaan, inisiatif ini dilakukan di dua lokasi iaitu di Sungai Sengkuang dan Sungai Segget selama dua bulan.

“Dua sungai ini dipilih sebagai kerana ia terletak di tengah bandar raya dan mempunyai jajaran lebih pendek berbanding sungai lain. Jika inisiatif ini berjaya tingkatkan kualiti air, usaha ini akan diperluaskan ke sungai tercemar yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Pemulihan Sungai Sengkuang, Segget dan Danga di Sungai Sengkuang, Jalan Batik, Taman Sentosa, di sini hari ini.

Tambah Tian Soon, sebanyak 500 liter ‘eco enzyme’ akan dituang ke dalam kedua-dua sungai berkenaan mengikut jadual ditetapkan pada setiap hari Khamis tempoh tersebut.

“Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan mengambil sampel air setiap bulan untuk dihantar ke makmal bagi memantau perubahan kualiti air secara berkala. Fasa pertama ini akan berjalan selama dua bulan, dan pemantauan menyeluruh akan diteruskan selama enam bulan.

“Kita optimis inisiatif ini mampu memulihkan kualiti air sekali gus mengeluarkan sungai-sungai terbabit daripada senarai hitam sungai tercemar di negara ini dan beralih kepada status tahap ketiga,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini