KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari menegaskan penganjuran Sukan SEA 2027 tidak terjejas dengan dakwaan kemungkinan Indonesia memboikot temasya itu susulan keputusan menggugurkan beberapa acara sukan daripada senarai pertandingan.
Mohammed Taufiq berkata, keputusan pemilihan acara dibuat berdasarkan prosedur serta ketetapan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) yang turut mendapat persetujuan negara-negara anggota.
Katanya, Malaysia juga belum menerima sebarang makluman rasmi daripada Indonesia mengenai dakwaan negara itu yang mempertimbangkan tindakan memboikot temasya berkenaan.
“Ini bukan kali pertama sesuatu sukan tidak dipertandingkan. Jika dilihat sebelum ini, terdapat juga tuan rumah yang tidak menganjurkan acara-acara tertentu.
“Jadi, semua ini melalui proses yang telah ditetapkan dan dipersetujui SEAGF serta semua negara terlibat. Saya rasa perkara ini tidak lagi berbangkit ” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran Portal Rasmi Sukan SEA 2027 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.
Sebelum ini, laporan media antarabangsa menyebut sebuah persatuan sukan kebangsaan Indonesia mengemukakan cadangan supaya negara itu mempertimbangkan pemulauan temasya berkenaan selepas beberapa sukan yang menjadi keutamaan mereka tidak dimasukkan dalam program pertandingan.
Antara acara yang dilaporkan tidak disenaraikan termasuk panjat dinding, mendayung, bola tampar pantai, gusti, catur, jujitsu, kickboxing dan bola baling.
Dalam pada itu, beliau berharap perbezaan pandangan berhubung pemilihan acara tidak menjejaskan hubungan baik serta semangat kebersamaan antara negara ASEAN.
Jelasnya, setiap negara berhak mengemukakan pandangan masing-masing, namun Sukan SEA perlu terus dilihat sebagai wadah memperkukuh hubungan serantau dan bukan hanya medan untuk bersaing memburu pingat.
“Saya yakin tema yang kita pilih kali ini ialah Celebrating Unity bagi meraikan perpaduan. Ini merupakan temasya kekeluargaan, iaitu keluarga ASEAN.
“Saya yakin dan percaya setiap negara mempunyai kebijaksanaan masing-masing untuk memastikan perpaduan ASEAN terus dipertahankan dan diperkukuh” katanya.
Untuk rekod, sebanyak 473 acara daripada 43 jenis sukan telah mendapat kelulusan untuk dipertandingkan pada Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung di Malaysia, berdasarkan keputusan yang diumumkan pada Oktober lalu. – UTUSAN










