Kesilapan sendiri hukum JDT

Kesilapan sendiri hukum JDT

ARIF Aiman.- IHSAN JOHOR SOUTHERN TIGERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegagalan memanfaatkan peluang dan beberapa kesilapan ketika bertahan akhirnya memakan diri Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila tewas 0-2 kepada wakil Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors FC dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Piala Dunia Jeonju, kelmarin.

Kekalahan itu bukan sahaja meleburkan rekod tanpa kalah Harimau Selatan dalam saingan berkenaan musim ini, malah menjadi peringatan bahawa kesilapan sekecil mana pun mampu mengundang padah apabila berdepan pasukan berkualiti di pentas Asia.

Pengendali JDT, Xisco Munoz tidak berselindung mengakui anak buahnya gagal mempamerkan persembahan terbaik, terutama ketika berada di kawasan serangan sehingga beberapa peluang yang terhidang tidak berjaya diterjemahkan kepada jaringan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ia bukan persembahan terbaik kami malam ini. Kami menghadiahkan beberapa peluang kepada mereka dan kami tahu kami tidak berada di tahap terbaik di kawasan pertahanan lawan.

“Dalam saingan ACLE, setiap perincian kecil adalah sangat penting. Kita perlu belajar daripada malam ini, lebih memahami pihak lawan dan memperagakan persembahan yang lebih baik serta matang pada perlawanan seterusnya,” katanya selepas perlawanan.

JDT sebenarnya memulakan perlawanan dengan cukup meyakinkan apabila beberapa kali mengancam kubu tuan rumah, namun kegagalan menyudahkan peluang akhirnya dihukum apabila Jeonbuk memecah kebuntuan menerusi jaringan Bruno Mota pada minit ke-22.

Situasi bertambah sukar buat Harimau Selatan apabila tuan rumah memperoleh sepakan penalti pada penghujung babak pertama yang disempurnakan Italo Rosa untuk melebarkan kelebihan kepada 2-0, keputusan yang kekal sehingga wisel penamat

Munoz turut menegaskan pasukannya perlu lebih bersedia menghadapi corak permainan lawan, khususnya ancaman hantaran jauh dan perebutan bola kedua yang menjadi antara aspek penting dalam perlawanan itu.

“Perancangan kami jelas. Kami tahu kami perlu mengekang hantaran jauh dan bola kedua. Kami adalah sebuah pasukan yang kuat dan lincah dan kami perlu bermain mengikut kelebihan terbabit serta mendorong diri kami,” katanya.

Keputusan itu menyaksikan JDT merosot ke tangga ketujuh carta liga dengan tujuh mata selepas mengharungi empat perlawanan, namun Munoz tetap optimis anak buahnya mampu bangkit dan memberikan reaksi lebih baik dalam aksi seterusnya.

“Kami akan memberikan yang terbaik untuk peminat kami pada perlawanan seterusnya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini