JAKARTA: Bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi, hadir di Mahkamah Daerah Jakarta Timur hari ini bagi memberi keterangan sebagai saksi dalam perbicaraan kes fitnah membabitkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Roy Suryo, yang menuduhnya menggunakan ijazah universiti palsu.
Ketibaan Jokowi menarik perhatian orang ramai apabila sekumpulan penyokongnya berhimpun di pekarangan mahkamah untuk melihat bekas pemimpin itu.
Kira-kira 1,200 anggota keselamatan dikerahkan bagi mengawal keadaan dan memastikan prosiding berprofil tinggi itu berlangsung tanpa sebarang gangguan.
Mahkamah mengehadkan kehadiran di dalam bilik perbicaraan kepada 80 orang, manakala skrin televisyen dipasang di luar bangunan bagi membolehkan wartawan dan orang awam mengikuti prosiding berkenaan.
Roy, yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Belia dan Sukan ketika pentadbiran bekas Presiden, Susilo Bambang Yudhoyono, dibicarakan bersama aktivis media sosial, Tifauzia Tyassuma atau lebih dikenali sebagai Dr Tifa.
Kedua-dua tertuduh mendakwa Jokowi menggunakan ijazah sarjana muda palsu dari Fakulti Perhutanan Universiti Gadjah Mada (UGM) sebagai sebahagian daripada dokumen pencalonannya pada Pilihan Raya Presiden 2014.
Mereka turut mendakwa Jokowi sebenarnya tidak pernah menamatkan pengajian di universiti berkenaan.
Kontroversi mengenai kelayakan akademik bekas presiden itu berlarutan lebih sedekad dan membabitkan beberapa individu yang mempersoalkan kesahihan ijazahnya.
Sebahagian individu yang pernah membuat tuduhan sama kemudian menarik balik dakwaan dan memohon maaf secara terbuka, manakala beberapa pihak lain tetap mempertahankan tuduhan berkenaan sehingga berdepan tindakan undang-undang.
Pasukan peguam Jokowi berkata, anak guam mereka bersedia mengemukakan semua rekod akademiknya di mahkamah bagi menjawab tuduhan berkenaan.
“Dalam perbicaraan ini, Jokowi akan menunjukkan kepada rakyat Indonesia semua sijil akademiknya, bermula dari sekolah rendah, sekolah menengah pertama, sekolah menengah atas hingga universiti,” menurut kenyataan bertulis peguamnya.- AGENSI











