IOIPG REIT sasar raih RM2.1 bilion menerusi IPO di Pasaran Utama

IOIPG REIT sasar raih RM2.1 bilion menerusi IPO di Pasaran Utama

BARISAN pengurusan tertinggi IOIPG Reit Management Sdn. Bhd. dan IOI Properties Group Berhad bersama penasihat utama pada Majlis Pelancaran Prospektus IOIPG Reit di Le Méridien Putrajaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: IOIPG Reit Management Sdn. Bhd. dan IOI Properties Group Berhad (IOIPG) melancarkan prospektus IOIPG Real Estate Investment Trust (IOIPG Reit) sempena tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia yang dijadualkan pada 25 November ini. 

Pelaksanaan IPO berkenaan dijangka dapat mengumpul dana kira-kira RM2.1 bilion untuk IOIPG, dengan anggaran pemodalan pasaran IOIPG Reit mencecah RM5.3 bilion berdasarkan harga runcit RM0.96 seunit.

Ketua Pegawai Eksekutif IOIPG Reit Management, Chris Chong berkata, pelancaran prospektus itu menandakan pencapaian penting dalam membuka nilai aset matang dan berkualiti tinggi kumpulan untuk pelabur.

Memuatkan artikel berkaitan…

“IOIPG Reit membuka nilai aset matang kami demi memberi manfaat kepada pelabur yang mencari pertumbuhan jangka panjang daripada kumpulan hartanah tempatan yang mempunyai rekod prestasi terbukti.

“Sokongan asas ekonomi Malaysia yang kukuh serta perkembangan sektor peruncitan dan pelancongan memberi latar belakang positif kepada portfolio aset kami,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, IPO berkenaan melibatkan penawaran sehingga 2.2 bilion unit merangkumi 715.61 juta unit untuk penawaran runcit dan sehingga 1.48 bilion unit bagi penawaran institusi.

Penawaran runcit merangkumi peruntukan terhad untuk pemegang saham IOIPG, pengarah dan pekerja kelayakan, serta 110 juta unit bagi permohonan orang ramai Malaysia dengan 55 juta unit diperuntukkan untuk pelabur Bumiputera.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Berhad, Michael Oh-Lau berkata, penawaran IOIPG Reit merupakan penyenaraian Reit terbesar di Malaysia setakat ini dan antara IPO terbesar bagi tahun 2026.

“Disokong oleh portfolio aset peruncitan, perhotelan dan pejabat yang kukuh serta rekod operasi IOIPG, IOIPG REIT menawarkan akses kepada portfolio hartanah yang menjana pendapatan pelabur,” katanya.

Portfolio awal IOIPG Reit terdiri daripada sembilan aset pegangan bebas di Selangor, Pusat Bandaraya Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dengan nilai penilaian keseluruhan mencecah RM7.66 bilion setakat 31 Mei 2026.

Aset utamanya ditunjangi oleh IOI City Mall iaitu pusat membeli-belah terbesar di Malaysia, selain enam hartanah hotel di bawah jenama Marriott International serta dua hartanah pejabat gred tinggi.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2027, IOIPG Reit diunjurkan menawarkan hasil agihan sebanyak 6.60 peratus dengan 100 peratus daripada pendapatan boleh diagihkan dibayar kepada pemegang unit.

Permohonan bagi penawaran runcit dan institusi dibuka bermula hari ini dan akan ditutup pada pukul 5 petang, 10 November 2026. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini