Insiden tular pergaduhan dengan parang dipercayai berpunca kerana cemburu - Utusan Malaysia

Insiden tular pergaduhan dengan parang dipercayai berpunca kerana cemburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki cedera ditetak individu bersenjatakan parang dalam satu pergaduhan melibatkan beberapa suspek di hadapan sebuah rumah pangsa di Taman Cendana, Pasir Gudang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pergaduhan yang silap berlaku pada pukul 12.18 pagi itu melibatkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati pergaduhan itu dipercayai berlaku susulan perasaan cemburu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mangsa iaitu seorang lelaki tempatan dikejarkan ke Hospital Pasir Gudang bagi mendapatkan rawatan lanjut kerana mengalami kecederaan parah, dia bagaimanapun dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Susulan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menahan seorang suspek lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an pada pukul 4.34 pagi, semalam,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Sohaimi, senjata parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu turut dirampas.

“Semakan dibuat mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau melibatkan kesalahannya jenayah dan dadah. Ujian urin dibuat pula mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Polis telah membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau benda berbahaya dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952 iaitu dengan sengaja memasukkan dadah berbahaya ke dalam diri sendiri,” katanya.

Beliau turut memberitahu suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 7 November.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 18 saat memaparkan insiden pergaduhan melibatkan lima lelaki menggunakan parang di hadapan sebuah kawasan rumah pangsapuri.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini