416 permohonan kewarganegaraan di Sarawak masih diproses

416 permohonan kewarganegaraan di Sarawak masih diproses

SHAMSUL ANUAR NASARAH - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 416 permohonan kewarganegaraan di Sarawak masih dalam proses dan akan dibawa untuk pertimbangan serta keputusan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKSK) negeri itu tahun ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, daripada 722 permohonan yang diterima di Sarawak bagi tempoh 2024 hingga September lalu, sebanyak 306 kes telah mendapat keputusan muktamad Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, daripada jumlah yang telah diputuskan itu, sebanyak 225 permohonan diluluskan manakala 81 lagi ditolak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Peringkat Negeri Sarawak merupakan satu mekanisme kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak yang ditubuhkan bagi meneliti, membuat verifikasi dan memudah cara permohonan kewarganegaraan secara pendaftaran di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan muktamad dan pertimbangan permohonan kewarganegaraan ini kekal di bawah kuasa Kementerian Dalam Negeri berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) berhubung keberkesanan JKKSK Sarawak dalam mempercepatkan proses verifikasi kes kanak-kanak tanpa dokumen bagi tempoh 2024 hingga 2026 serta jumlah permohonan yang mendapat kelulusan muktamad kementerian.

Shamsul berkata, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak turut bertujuan menangani isu kewarganegaraan dalam kalangan kanak-kanak di negeri itu.

“Pendekatan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri ini bertujuan untuk memastikan pengurusan permohonan yang lebih inklusif, adil serta membantu mempercepatkan proses verifikasi kes sebagai langkah mengurangkan isu kewarganegaraan dalam kalangan kanak-kanak Sarawak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini