JOHOR BAHRU: Seramai 1,781 pegawai dan anggota polis Johor daripada pelbagai jabatan akan bertugas sepanjang sambutan perayaan Deepavali tahun ini bermula Jumaat hingga Ahad ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, Op Cahaya yang digerakkan selama tiga hari itu melibatkan seramai 201 pegawai dan 1,580 anggota daripada seluruh kontinjen negeri.
Menurut beliau, selain memastikan aspek keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terjamin, operasi itu turut bertujuan memastikan kelancaran trafik khususnya di lokasi-lokasi tumpuan.
“Tumpuan akan diberikan kepada kawasan perumahan, pusat hiburan, pusat beli-belah, kuil Hindu, lebuh raya utama serta pintu masuk antarabangsa, termasuk Tambak Johor.
“Operasi ini dibuat bagi memastikan keselamatan masyarakat dan kelancaran pelbagai aktiviti sepanjang tempoh perayaan,” katanya selepas melawat tapak Bazar Deepavali Jalan Trus, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebudayaan dan Warisan Johor, P. Pannir Selvam dan Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat.
Tambah Ab. Rahaman, pihaknya menjangka akan berlaku peningkatan trafik di laluan-laluan utama seluruh negeri ini, khususnya di Lebuhraya Utara – Selatan melibatkan kedua-dua arah.
“Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihat agar mematuhi peraturan lalu lintas, merancang perjalanan lebih awal serta mengelakkan pemanduan dalam keadaan letih atau dibawah pengaruh alkohol.
“Pada masa sama, orang ramai yang bercuti sempena musim perayaan digalakkan mendaftar maklumat perjalanan menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi membolehkan polis mengenal pasti kediaman yang ditinggalkan sekali gus merancang rondaan.
Katanya, Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 5,294 pendaftaran direkodkan menerusi aplikasi VSP, peningkatan kira-kira 20 peratus berbanding 4,425 pendaftaran bagi tempoh sama, tahun lalu.-UTUSAN











