WHO larang ubat, pembedahan obesiti bawah 10 tahun

WHO larang ubat, pembedahan obesiti bawah 10 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Penggunaan ubat dan pembedahan bukan penyelesaian utama bagi menangani masalah berat badan berlebihan dalam kalangan kanak-kanak, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebaliknya, WHO dalam garis panduan pertamanya mengenai obesiti kanak-kanak dan remaja mengesyorkan pendekatan berasaskan pemakanan seimbang, aktiviti fizikal serta perubahan tingkah laku.

“WHO tidak mengesyorkan rawatan farmakologi, pembedahan bariatrik yang mengubah struktur perut atau saluran penghadaman, mahupun penggunaan alat penurunan berat badan bagi kanak-kanak berusia 0 hingga 9 tahun.

“Bagi remaja berusia 10 hingga 19 tahun, rawatan menggunakan ubat-ubatan yang diluluskan hanya boleh dipertimbangkan sekiranya program gaya hidup pelbagai pendekatan yang dipantau tidak membuahkan hasil seperti diharapkan,” katanya.

WHO berkata, pembedahan bariatrik pula boleh dipertimbangkan dalam keadaan tertentu dan dengan syarat ketat bagi remaja yang mengalami obesiti teruk.

Cadangan bagi golongan berusia 19 tahun ke bawah itu berbeza dengan garis panduan WHO mengenai obesiti dalam kalangan orang dewasa yang dikeluarkan pada Disember 2025, susulan peningkatan populariti generasi baharu ubat penahan selera yang dikenali sebagai agonis GLP-1, termasuk jenama popular Ozempic dan Mounjaro.

WHO sebelum ini menyatakan pelbagai ubat untuk menurunkan berat badan dan merawat diabetes boleh digunakan bagi menangani obesiti dalam kalangan orang dewasa.

Menurut WHO, kira-kira 70 juta kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun mengalami obesiti pada 2024, manakala jumlah remaja berusia 10 hingga 19 tahun yang mengalami masalah sama mencecah 100 juta di seluruh dunia.

Dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berusia lima hingga 19 tahun, kadar obesiti meningkat ketara di seluruh dunia daripada dua peratus pada 1990 kepada lapan peratus pada 2024.

“Peningkatan obesiti berlaku di semua tempat dan di setiap rantau. Ia semakin meningkat di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.

“Manakala, sesetengah negara berpendapatan tinggi mula membendung peningkatan obesiti, namun belum lagi mencatatkan penurunan,” kata Pengarah Jabatan Pemakanan dan Keselamatan Makanan WHO, Luz Maria De Regil.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN