Trump 'pujuk' Arab Saudi normalisasi hubungan Israel

Trump ‘pujuk’ Arab Saudi normalisasi hubungan Israel

PUTERA Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman bersama Presiden AS, Donald Trump, ketika Forum Pelaburan AS-Saudi di Pusat Seni Persembahan John F. Kennedy di Washington, pada 19 November 2025.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberi bayangan kemungkinan Arab Saudi menghidupkan semula rundingan normalisasi hubungan dengan Israel menerusi Perjanjian Abraham, ketika konflik ketenteraan berterusan dengan Houthi di Yemen.

Trump percaya Riyadh akan mempertimbangkan semula perjanjian yang diusahakan Washington itu, malah berpotensi mencapai kemajuan lebih besar berbanding sebelum ini.

“Arab Saudi sangat gembira mendapat sokongan Israel dan sokongan kami,” katanya pada Jumaat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketika ditanya sama ada Arab Saudi akan menerima bantuan Israel untuk memerangi Houthi, Trump percaya kepimpinan negara itu akan mengalu-alukan sokongan berkenaan.

Kenyataan Trump itu memberi gambaran kemungkinan kerjasama lebih erat antara Arab Saudi dan Israel, ketika AS mempergiat usaha memperluas perjanjian normalisasi hubungan antara Israel dengan negara-negara Arab.

Bagaimanapun, kenyataan Trump itu bertentangan dengan keputusan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman minggu ini, yang menolak hasrat Israel untuk menyertai kempen ketenteraan terhadap Houthi.

Akhbar Israel, Haaretz, melaporkan hasrat itu ditolak meskipun usaha dilakukan untuk mendapatkan persetujuan Riyadh menerusi pengantaraan AS.

Kenyataan terbaharu Trump mencerminkan minat berterusan AS untuk membawa Arab Saudi menyertai kerangka normalisasi hubungan itu, selain membayangkan kemungkinan Israel memainkan peranan dalam menyokong operasi ketenteraan Riyadh di Yemen.

Perjanjian Abraham diperkenalkan ketika Trump memegang penggal pertama jawatan Presiden AS, apabila Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain menandatangani perjanjian normalisasi hubungan dengan Israel yang diusahakan Washington di Rumah Putih pada 15 September 2020.

Perjanjian itu mewujudkan hubungan diplomatik rasmi serta membuka ruang kepada peluasan kerjasama politik, ekonomi dan keselamatan antara negara terbabit.

Arab Saudi tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan menegaskan normalisasi hubungan bergantung pada penyelesaian isu Palestin, termasuk penubuhan negara yang merdeka.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini