PETALING JAYA: Tiga buah kapal tentera laut Myanmar yang membawa pulang seramai 1,476 warganegara itu yang ditahan di Malaysia dijangka berlabuh di negara berkenaan esok.
Portal berita Myanmar, Popular News Journal melaporkan, ketiga-tiga kapal berkenaan yang berlepas dari Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pada 29 September lalu memasuki perairan Myanmar pada 1 Oktober.
Menurut laporan itu, ketiga-tiga kapal terbabit disambut dan diiringi beberapa kapal tentera laut Myanmar sejurus memasuki perairan negara berkenaan.
Kapal berkenaan kemudian meneruskan pelayaran menuju ke pelabuhan tentera di Thilawa, kira-kira 25 kilometer dari Yangon.
Seorang warga Myanmar yang merupakan antara individu dihantar pulang berkata, mereka berasa gembira selepas dimaklumkan bakal dibebaskan dari depoh imigresen untuk dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing.
“Malam sebelum pulang, kami tidak dapat tidur sepanjang malam kerana kami tahu kami akhirnya akan pulang ke negara kami, Myanmar.
“Semasa tinggal di luar memang sukar, tetapi keadaan tempat tinggal dan makanan dalam pusat tahanan sangat teruk.
“Melihat bendera Myanmar membuatkan kami sebak, saya sangat gembira sehingga tidak dapat digambarkan dengan kata-kata,” katanya dalam temu bual bersama portal berita berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 1,476 tahanan warga Myanmar di Malaysia dihantar pulang menaiki tiga kapal tentera laut yang berlepas dari Pangkalan TLDM Lumut pada 29 September lalu.
Pelaksanaan itu diselaraskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Jabatan Imigresen Malaysia serta agensi berkaitan.
Penyelesaian berkenaan dicapai menerusi pendekatan diplomatik dan rundingan secara langsung dengan Kerajaan Myanmar. – UTUSAN











