PETALING JAYA: Tentera Darat Malaysia (TDM) akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung siasatan terhadap seorang pegawai tentera yang ditahan di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada 28 September lalu.
Cawangan Komunikasi Strategik, Markas TDM memaklumkan, tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan berdasarkan hasil siasatan yang telah disahkan.
Menurut kenyataan itu, TDM memandang serius sebarang perkara yang melibatkan anggota dan pegawai tentera serta sentiasa menitikberatkan aspek disiplin, keselamatan dan pematuhan kepada peraturan.
“TDM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan berdasarkan hasil siasatan yang telah disahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
TDM mengambil maklum kejadian penahanan pegawai berkenaan yang ditemukan bersama sepucuk senjata api, sejumlah peluru dan cecair yang disyaki bahan terlarang.
Menurut TDM, pegawai tersebut kini berada dalam tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan.
“Saringan awal air kencing juga mendapati pegawai berkenaan positif Mitragynine. Bagaimanapun, perkara tersebut masih tertakluk kepada pengesahan lanjut melalui analisis makmal dan hasil siasatan pihak berkuasa.
“Dalam perkembangan sama, TDM melaksanakan pemeriksaan terhadap kesemua stor senjata dan stor peluru sejurus menerima maklumat mengenai kejadian itu.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua senjata dan peluru adalah lengkap, mencukupi serta tiada sebarang kehilangan direkodkan,” katanya.
Pada masa sama, TDM berkata, sebarang kesimpulan berkaitan kejadian tersebut hendaklah dibuat berdasarkan fakta dan hasil siasatan pihak berkuasa, bukannya maklumat yang belum disahkan.
“TDM turut menyeru semua pihak supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh mengelirukan orang awam atau menjejaskan proses siasatan.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan melalui saluran rasmi TDM pada masa yang bersesuaian,” katanya. – UTUSAN











