JOHOR BAHRU: Pakistan tidak berdepan masalah menjinakkan pendatang baharu, China 8-3 dalam aksi pembuka tirai Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Johor, di sini hari ini.
Pakistan yang merupakan naib juara SOJC pada edisi 2016 terlebih dahulu membuka jaringan setelah Ullah Saif menjaringkan gol padang menewaskan penjaga gol China, Liang Jinglang pada minit ke-13.
Bagaimanapun, skuad kendalian Cui Yongxin bangkit menyamakan kedudukan selepas Liang Hoalin turut menjaringkan gol padang menewaskan penjaga gol, Ahsan Mahmood pada minit akhir suku pertama.
China menambah jaringan apabila Hoalin menjaringkan gol kedua peribadinya menghukum kesilapan Ahsan yang gagal menendang bola keluar dari kawasan D pada minit ke-18.
Pendatang baharu itu terus menjarakkan kedudukan apabila kapten Wang Yubo merobek gawang Pakistan selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-25 permainan.
Tersentak dengan jaringan itu, anak didik Sameer Hussain bangkit berada di hadapan hasil jaringan Muhammad Farooq menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit akhir suku kedua serta jaringan padang Rana Waleed dan Fayyaz Hamza pada minit ke-37 dan ke-39.
Pakistan membuktikan pengalaman membezakan antara kedua-dua pasukan apabila terus selesa menambah jaringan pada minit ke-43 hasil jaringan padang disusuli gol keenam oleh Muhammad Usman selang seminit kemudian.
Pada lima minit terakhir permainan, Asam Haider menyempurnakan penalti stroke dan pukulan sudut penalti pada minit ke-55 dan ke-57 untuk melengkap kemenangan bergaya 8-3 menjinakkan China.-UTUSAN











