KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memanfaatkan tambahan peruntukan RM500 juta dalam Belanjawan 2027 bagi meningkatkan kebajikan mahasiswa terutama pembinaan dan penambahbaikan kolej kediaman di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, KPT menerima peruntukan RM19.1 bilion dalam Belanjawan 2027, meningkat kira-kira RM500 juta atau 2.7 peratus berbanding RM18.6 juta tahun lalu.
Katanya, daripada jumlah itu, RM800 juta diperuntukkan untuk menaik taraf bilik kuliah, kolej kediaman mahasiswa serta menggantikan peralatan usang di Universiti Awam (UA), politeknik dan kolej komuniti.
“Kita akan menggunakan peruntukan itu dengan sebaik-baiknya bagi memastikan ia dapat mewujudkan keadaan yang lebih selesa, selamat dan sesuai untuk penuntut di kampus masing-masing.
“Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) atas tambahan 2.7 peratus kepada KPT,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program Alumni Back to Campus Peringkat Kebangsaan 2026 di Universiti Malaya (UM) hari ini.
Zambry berkata, peruntukan berkenaan turut digunakan bagi menangani isu kekurangan tempat tinggal mahasiswa menerusi pelbagai pendekatan bagi mempercepatkan pembinaan kolej kediaman di beberapa universiti yang dikenal pasti.
Katanya, terdapat universiti berkenaan yang sudah memulakan projek pembinaan selain telah mendapat kelulusan.
“Sebagai contoh, yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam, memulakan di UM dengan pembabitan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) iaitu syarikat-syarikat kerajaan yang boleh juga melabur dalam usaha kita untuk menyediakan prasarana untuk penuntut.
“Kita gunakan UM sebagai model awal, dalam masa yang sama juga mungkin ada model-model yang lain yang boleh kerajaan pertimbangkan tetapi tumpuan utama ialah bagaimana kita dapat selesaikan masalah kediaman penuntut dalam kadar segera dengan menggunakan pelbagai kaedah dan cara.
“Kita memberi penekanan supaya ia tidak digunakan hanya satu model yang akan melambatkan proses pembinaan kediaman. Jadi, UM adalah antara contoh yang akan kita lihat dan selain daripada pendekatan lain,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan bekerjasama dengan GLIC bagi mempercepatkan pelaksanaan projek kediaman mahasiswa, termasuk pelaburan RM750 juta oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) menerusi projek Vista Kampus dalam Belanjawan 2027.
Anwar berkata, projek Vista Kampus membabitkan pembinaan kediaman siswa di enam universiti, termasuk Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Selain itu, Fasa 1 Residensi Mahasiswa UM dijadual siap pada 2031 dan dijangka memberi manfaat kepada 10,000 mahasiswa universiti berkenaan. – UTUSAN











