PUTRAJAYA: Tsen Ren Bao menutup tirai Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) dengan pencapaian membanggakan apabila muncul pelumba Asia kedua terbaik selepas menamatkan saingan lapan peringkat dengan catatan 29 jam 8 minit 7 saat (s).
Pelumba St George Continental Cycling Team itu ketinggalan tiga minit 44 saat di belakang Yuhi Todome (Aisan Racing Team) yang muncul pelumba Asia terbaik dengan catatan 29:04:23s.
Ren Bao menamatkan LTdL26 di kedudukan ke-25 keseluruhan berkata, dia berasa lega selepas mengharungi perlumbaan berstatus 2.0ProSeries itu, namun pencapaian tersebut menyuntik keyakinan buat dirinya untuk memburu jersi pada edisi akan datang.
“Sekarang rasa macam lega selepas semuanya selesai. Tetapi saya bangga dapat tempat kedua. Walaupun tidak dapat jersi, mungkin tahun depan saya akan sasarkan jersi pula,” katanya kepada pemberita selepas tamat Peringkat 8 LTdL26 dari Muar ke Putrajaya, hari ini.
Mengulas persaingan bersama adiknya, Tsen Ren Han yang turut beraksi dalam LTdL26, Ren Bao berkata, pengalaman menjadi faktor utama yang membezakan prestasi mereka.
“Saya sudah menyertai LTdL sebanyak tiga kali dan sudah melalui banyak perlumbaan. Jadi, saya tahu apa yang perlu dilakukan, bila perlu melakukannya dan bagaimana mengelak gerakan yang berbahaya. Itu banyak membantu saya.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada adik lelaki saya hari ini. Dia kehilangan tempat ketiga dalam klasifikasi keseluruhan (GC) dan itu sesuatu yang perlu dipelajarinya,” kata Ren Bao yang merupakan anak kepada bekas pelumba negara, Tsen Seong Hoong.
Pelumba berusia 23 tahun itu turut bertindak cemerlang apabila menjadi pelumba Malaysia terbaik ketika Peringkat dari Meru Raya menuju Cameron Highlands, Rabu lalu. – UTUSAN











