NEW DELHI: Perubahan iklim mengancam pendapatan dan memaksa penduduk meninggalkan kediaman mereka di seluruh Asia Selatan, namun teknologi serta tindakan kerajaan mampu membantu mengehadkan kerosakan tersebut.
Ketua Pengarah Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), Amy Pope, berkata kenaikan paras laut, banjir dan kemarau mengancam kediaman serta kawasan pertanian di rantau itu.
Merujuk bencana di Nepal dapa 26 Ogos lalu, Pope berkata runtuhan gunung dan glasier di kawasan Himalaya mencetuskan banjir besar yang mengorbankan nyawa.
Menurut IOM, dalam senario terburuk, sehingga 40.5 juta penduduk di Asia Selatan mungkin terpaksa berpindah menjelang 2050.
“Apabila mereka tidak dapat menghasilkan makanan atau memberi makan ternakan, kemungkinan penduduk terpaksa berpindah menjadi lebih tinggi,” kata Pope ketika mengadakan lawatan ke New Delhi semalam.
“Langkah penyesuaian pertama yang sering diambil penduduk adalah berpindah,” katanya.
Beliau berkata perubahan iklim turut mempercepat proses urbanisasi di India.
“Apabila mencari tempat berlindung daripada cuaca panas, mereka berpindah ke pusat bandar,” katanya.
Risiko itu amat ketara di Asia Selatan, apabila jumlah penduduk yang besar dan sumber terhad menyebabkan banyak komuniti terdedah kepada kesan perubahan iklim.
“Kita melihat kurangnya rasa mendesak di peringkat global terhadap risiko yang dihadapi komuniti rentan.
“Bencana kemanusiaan menelan belanja berbilion-bilion dolar, sedangkan kos pelaburan dalam langkah meningkatkan daya tahan boleh jauh lebih rendah,” katanya.
Pope berkata, data yang lebih baik dan kecerdasan buatan (AI) boleh membantu kerajaan mengenal pasti komuniti berisiko sebelum bencana melanda.
“Dengan kemajuan teknologi ramalan berasaskan AI, kerajaan kini boleh menjangkakan dengan lebih tepat komuniti yang berisiko tinggi terpaksa berpindah,” katanya.- AGENSI











