Pelajar kolej dipenjara 12 bulan, denda RM13,800 - Utusan Malaysia

Pelajar kolej dipenjara 12 bulan, denda RM13,800

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pelajar kolej swasta yang terlibat sindiket along di penjara 12 bulan dan denda RM13,800 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas perbuatan khianat dan ugutan terhadap mangsa sindiket tersebut.

Tertuduh, Muhammad Taufiq Jamal Ab Nasir, 24, mengaku bersalah selepas enam pertuduhan dibacakan terhadapnya di mahkamah berasingan.

Di hadapan Majistret Nurzihan Abd. Rehman, tertuduh dipenjara satu tahun daripada tarikh tangkap selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan untuk menakutkan seorang lelaki menggunakan komunikasi tanpa nama yang ditulis pada sekeping nota di Jalan Limau Manis, Kampung Pasir, di sini kira-kira 12.45 pagi pada 5 Oktober lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 507 kanun keseksaan, dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 10 bulan daripada tarikh tangkapan selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan cara menyimbah cat berwarna merah ke atas sebuah van milik sebuah syarikat hingga menyebabkan kerugian RM120 di lokasi yang sama kira-kira pukul 4.15 pagi, 6 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada lima tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala di hadapan Majistret, Atifah Hazimah Wahab, tertuduh berdepan pertuduhan melakukan khianat dengan memecahkan cermin kereta milik Low Hui Feng, 41, di Taman Nusa Jaya Mas, Skudai pada pukul 10.50 malam, 19 September lalu.

Pelajar swasta itu turut melakukan khianat dengan menyimbah cat merah terhadap sebuah rumah di Jalan Setia 2/9, Taman Setia Indah, di sini kira-kira pukul 6.15 pagi pada 5 Oktober ini.

Bagi perbuatan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan diperintahkan membayar denda masing-masing berjumlah RM4,000 dan RM2,500, selain diperintahkan hukuman penjara selama 12 bulan jika gagal membayarnya.

Tertuduh turut berdepan dua pertuduhan melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan Seow Chee Keong, 45, dan Muhammad Syazwi Azri Mohd. Norzehan, 32, dengan cara menggunakan komunikasi tanpa nama di Jalan Bakti 49, Taman Mutiara Rini, Skudai pada 9.37 malam, 28 September lalu dan Jalan Kemuliaan 6, Taman Universiti, Skudai pada pukul 7.30 pagi, 2 Oktober ini.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun sebagai tambahan kepada hukuman yang diperuntukkan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Atas kesalahan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda masing-masing berjumlah RM3,800 dan RM3,500, selain diperintahkan hukuman penjara selama 10 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Bagi kedua-dua mahkamah, kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Deana Aqilah Aliman dan Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini