Norris akui McLaren dalam bahaya

Norris akui McLaren dalam bahaya

Pemandu pasukan McLaren, Lando Norris - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Pemandu McLaren, Lando Norris mengakui pasukannya kini ketinggalan  untuk mempertahankan kedudukan dalam kelompok tiga terbaik Kejuaraan Pengeluar Formula Satu (F1) musim ini. 

Juara dunia 2025 itu menyifatkan McLaren sebagai pasukan paling perlahan dalam kelompok empat pasukan teratas selepas Grand Prix (GP) Singapura, sekali gus membayangkan cabaran besar menanti skuad berpangkalan di Woking itu menjelang penghujung musim.

Lebih membimbangkan, Norris mengakui McLaren tidak mempunyai pakej naik taraf baharu dalam masa terdekat untuk meningkatkan prestasi jentera mereka, ketika Red Bull semakin menghampiri kedudukan pasukan itu dalam kejuaraan pengeluar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami tidak mampu menghalang mereka melainkan kami membawa naik taraf, sedangkan kami tidak mempunyai apa-apa untuk tempoh terdekat,” katanya.

Norris turut mengakui McLaren kini kembali ke tahap prestasi awal musim apabila jentera mereka sekadar menjadi pasukan keempat terpantas, di belakang Mercedes, Ferrari dan Red Bull.

“Buat masa ini, kami pasukan keempat terpantas. Kami kembali berada di belakang kelompok utama, hampir seperti kedudukan kami pada awal tahun.

“Kami masih mampu bersaing dengan baik dan memburu kelompok empat teratas, malah hampir mencabar podium, tetapi jurang prestasi masih terlalu besar. 

“Kami pasukan paling lemah dalam kelompok empat terbaik, jadi kami perlu terus berusaha menaik taraf jentera,” katanya.

Walaupun meraih dua kemenangan menerusi Norris di Hungary dan Belanda, selain lima lagi podium perlumbaan GP yang dikongsi Norris dan Oscar Piastri, prestasi keseluruhan mereka masih belum cukup konsisten untuk menyaingi pencabar utama.

Selepas GP Singapura, McLaren menghuni tempat ketiga kejuaraan pengeluar dengan kelebihan hanya enam mata berbanding Red Bull, ketika musim 2026 berbaki enam pusingan perlumbaan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini