KATHMANDU: Nepal akan memulakan usaha mengalirkan air keluar daripada empat tasik glasier yang terletak tinggi di kawasan pegunungan negara itu pada tahun fiskal ini bagi mengurangkan risiko banjir.
Langkah itu dilaksanakan susulan bencana baru-baru ini yang mengorbankan lebih 1,400 orang, manakala lebih 5,000 lagi masih hilang di kawasan sempadan Nepal-China.
Pasukan penyelamat masih menjalankan operasi mencari mangsa yang hilang selepas runtuhan glasier pada Ogos mencetuskan tanah runtuh dan banjir kilat yang melanda kawasan lembah.
Pakar pusat penyelidikan kerajaan yang menyelia projek berkenaan, Subash Tuladhar, berkata usaha itu bertujuan mengurangkan risiko tasik berkenaan melimpahi empangan semula jadi dan mencetuskan banjir di kawasan hilir.
“Matlamat kami adalah untuk mengurangkan risiko tasik berkenaan melimpahi empangan semula jadinya serta mengurangkan risiko banjir di kawasan hilir,” katanya.
Beliau berkata, terusan akan dibina untuk menyalurkan air ke sungai berhampiran secara terkawal, namun pekerja berdepan risiko kesihatan akibat tempoh kerja yang panjang di kawasan berketinggian selain bahaya banjir secara tiba-tiba.
Pihak berkuasa berkata, kerja mereka bentuk dan kajian terperinci bagi empat tasik di kawasan tengah dan timur negara iaitu Thulagi, Lower Barun, Lumding Tsho dan Hongu II akan dimulakan pada tahun fiskal yang berakhir pada pertengahan Julai 2027.
Tasik berkenaan terletak pada ketinggian antara 4,050 meter hingga 5,483 meter dan disenaraikan antara tasik paling berisiko di Nepal, menurut laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Pusat Antarabangsa Pembangunan Gunung Bersepadu (ICIMOD) pada 2020.
Tuladhar dari Pusat Penyelidikan Hidrologi dan Sumber Air Nepal berkata, negara itu mempunyai kemahiran dan pengalaman yang diperlukan untuk melaksanakan projek bernilai AS$50 juta (sekitar RM210 juta) yang dibiayai oleh Green Climate Fund, UNDP dan kerajaan.
Pengarah eksekutif pusat berkenaan, Sanjeeb Baral, berkata kerja mengalirkan air melalui struktur berpintu akan dimulakan selepas kajian terperinci selesai dan dijangka mengambil masa sehingga enam tahun.
Projek itu turut merangkumi pemasangan sensor, sistem ramalan dan amaran banjir, selain usaha meningkatkan daya tahan kawasan hilir serta mempersiapkan komuniti menghadapi risiko berkenaan.
Dalam usaha sama sebelum ini, Nepal menurunkan paras air tasik glasier Tsho Rolpa di kawasan Himalaya tengah sebanyak tiga meter pada 2000.
Nepal turut menurunkan paras air Tasik Glasier Imja yang terletak berhampiran Gunung Everest sebanyak 3.4 meter pada 2016.- AGENSI










