MELAKA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengesan seorang individu yang dipercayai menghina agama Islam menerusi hantaran media sosial berkaitan penggunaan satu perkataan ketika pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, individu berkenaan akan dirakam percakapannya selepas berjaya dikesan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, MCMC menerima beberapa laporan polis yang telah dibuat berhubung perkara itu, termasuk sekurang-kurangnya satu laporan yang dimaklumkan kepadanya.
“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC sedang mengesan individu tersebut dan beliau akan dirakam percakapan.
“Sekiranya pihak pendakwa raya merasakan wajar untuk dihadapkan ke mahkamah, maka itulah adalah langkah yang seterusnya yang akan diambil,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program PMK Paya Rumput@Tangga Batu di Krubong, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan semula hantaran berunsur 3R, iaitu agama, kaum dan institusi diraja, di media sosial.
Sebaliknya, katanya, orang ramai perlu segera melaporkan kandungan sedemikian kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
“Jangan bantu untuk sebarkan, jangan kongsi semula dan jangan menambah jumlah tontonan. Terus buat laporan polis atau aduan kepada MCMC,” katanya. – UTUSAN











