SUBANG: Rekod tanpa kalah MBSA Blue Pelican bakal dicabar Muamalat Bullets dalam aksi final Corporate Super Rugby (CSR) Championship 2026 di EV Arena Elmina City Centre, esok.
Perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada pukul 8.45 malam itu menjadi peluang buat MBSA melengkapkan musim sulung mereka dengan gelaran juara, sekali gus membuktikan kemampuan mencabar pasukan berpengalaman dalam kejohanan tersebut.
MBSA hadir dengan kelebihan selepas menamatkan saingan liga tanpa sebarang kekalahan, termasuk menewaskan Muamalat 27-14 sebelum ini.

Bagaimanapun, Ketua Jurulatih merangkap pemain MBSA, Faridzal Ismail, menegaskan pencapaian tersebut tidak akan membawa sebarang makna sekiranya pasukannya gagal memanfaatkan peluang pada perlawanan penentuan.
“Kami sudah bersedia sepenuhnya untuk final ini. Walaupun ini musim pertama MBSA dalam kejohanan, sasaran kami tetap jelas: memberikan komitmen 100 peratus dan berjuang untuk membawa pulang gelaran,” katanya dalam sidang media itu, hari ini.
Pemain MBSA, Umar Irsyad, turut menyuarakan hasrat untuk membuktikan keupayaan pasukannya dengan menjuarai kejohanan, selain menganggap kejayaan itu sebagai hadiah bermakna buat warga Shah Alam.
“Bagi kami, final ini peluang untuk menunjukkan bahawa MBSA mampu bersaing pada tahap ini. Kalau dapat melangkah keluar sebagai juara, saya rasa itu akan menjadi hadiah yang sangat bermakna buat bandaraya Shah Alam,” ujarnya.
Namun, rekod kemenangan terdahulu bukan jaminan buat MBSA untuk mengulangi keputusan sama apabila Muamalat dijangka memberikan tentangan sengit dalam usaha menggagalkan impian lawan menutup musim sulung dengan gelaran.
Bagi Muamalat, final itu turut membuka peluang untuk menamatkan kempen dengan kejayaan ketiga mereka dalam kejohanan berkenaan, selepas mengharungi permulaan musim yang mencabar akibat masalah kecederaan dalam skuad.
Pengarah Ragbi Muamalat Bullets, Ts Megat Mohammad Faisal, berkata pasukannya kini berada pada tahap yang membolehkan mereka memburu penamat positif selepas melalui tempoh sukar pada awal kempen.
“Permulaan musim agak menguji apabila skuad berdepan pelbagai kecederaan. Namun, kami kini berada di final dan peluang untuk menamatkan kempen dengan cemerlang masih terbuka. Kami mahu memberikan yang terbaik,” katanya.
Selain perlawanan akhir, perebutan tempat ketiga CSR Championship 2026 antara ATM Vanguard dan Ragbi PDRM akan berlangsung pada hari sama, bermula pukul 4.30 petang.-UTUSAN











