KUALA LUMPUR: Tiada tindakan tatatertib akan dikenakan terhadap mahasiswa yang mengkritik kerajaan susulan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berkata, segala tindakan tatatertib yang telah dikenakan sebelum ini akan digugurkan manakala perkara serius yang melibatkan mahasiswa tetap tertakluk kepada perundangan negara.
“Segala tindakan tatatertib yang telah dilakukan selama ini digugurkan. Sekiranya ada perkara-perkara serius yang berkaitan dengan mereka, maka ia tertakluk kepada perundangan negara.
“Jadi, kita ingin melihat supaya kekangan-kekangan terhadap kebebasan mahasiswa itu, dengan alasan-alasan yang diletakkan, termasuk juga dari segi peraturan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkenaan sejauh mana mahasiswa benar-benar bebas daripada dikenakan sebarang tindakan sekiranya mengkritik kerajaan.
Pada 28 Ogos lalu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan semua prosiding tatatertib berkaitan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan secara aman di semua universiti awam (UA) dihentikan serta-merta.
Ini susulan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung usaha memansuhkan AUKU.
Zambry berkata, pemansuhan AUKU perlu dilaksanakan secara terancang dan berfasa bagi memastikan tidak berlaku sebarang kelompongan perundangan yang boleh menjejaskan kesinambungan tadbir urus dan pengoperasian UA.
“Sejak pembangunan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, keperluan memperbaharui kerangka perundangan pendidikan tinggi telah diberikan perhatian.
“Ini termasuk cadangan pembangunan Akta Satu Pendidikan Tinggi atau One Higher Education Act (OHEA) yang dimasukkan dalam RPTM 2026-2035.
“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 19 Ogos lalu telah menetapkan pemansuhan AUKU perlu dilaksanakan secara tersusun, menyeluruh dan berhati-hati. Ini kerana AUKU turut menjadi asas perundangan bagi penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus UA. Kita perlu memastikan kesinambungan pengoperasian universiti sepanjang proses peralihan,” katanya.
Beliau berkata, KPT berhasrat untuk membawa cadangan-cadangan beberapa pindaan dalam Seksyen 15 dan Seksyen 16 AUKU ke Parlimen pada Disember ini.
“Pindaan itu merupakan langkah interim bagi memberi ruang yang lebih luas kepada mahasiswa untuk bersuara, berhimpun dan melaksanakan kegiatan kemahasiswaan secara bertanggungjawab, di samping memastikan kesejahteraan dan keharmonian kampus terus terpelihara,” katanya. – UTUSAN











