JOHOR BAHRU: Seorang bekas pemandu e-hailing dihukum penjara lapan tahun enam bulan selepas mengaku bersalah mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun termasuk memaksa mangsa memakan najisnya sendiri, empat tahun lalu.
Tertuduh, Chan Wen Jie, 32, dijatuhkan hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan pilihan dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Fareed Abdul Gapoor.
Tertuduh yang merupakan bapa kepada dua anak itu diperintahkan menjalani hukuman penjara itu bermula tarikh tangkapan, iaitu pada 3 Oktober 2022.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melaksanakan bon berkelakuan baik bagi tempoh tiga tahun dan melaksanakan khidmat komuniti selama 36 jam dalam tempoh enam bulan.
Dalam penghakimannya, Abdul Fareed berkata, kekejaman dan perbuatan yang dipapar melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan satu perbuatan tidak bertamadun, menjatuhkan maruah dan sama sekali tidak boleh dianggap sebagai kaedah mendidik.
“Tertuduh bukan sahaja merotan, tetapi juga menampar, menghentak kepala, ketuk ketampi, memaksa mangsa berdiri dalam tempoh lama dan juga memaksa mangsa memakan najis daripada lampin pakai buang.
“Perbuatan memaksa kanak-kanak memakan najis adalah tindakan yang kejam, menjatuhkan maruah yang tidak boleh sama sekali dijadikan sebagai satu kaedah mendidik seorang kanak-kanak,” katanya.
Menurut beliau lagi, pihaknya turut menolak hujah penghakiman pihak pembelaan bahawa perbuatan itu merupakan cara tertuduh mendidik mangsa, seperti yang dilakukannya terhadap anak tertuduh sendiri.
“Sekiranya tertuduh tidak mampu menjaga mangsa, dia sepatutnya menyerahkan kanak-kanak itu kembali kepada bapanya,” katanya.
Pada 2022 lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan membunuh Lee See Jie, 3, di sebuah rumah di Jalan Ria 2, Taman Skudai Ria, Skudai, antara pukul 8 malam hingga 8.30 malam pada 2 Oktober 2022.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 tahun hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong dan Nur Diyana Zubir manakala tertuduh diwakili peguam, K. Sarawanakumar dan Datin Freda Sabapathy.-UTUSAN











