PETALING JAYA: Sebanyak RM1.1 billion diperuntukkan bagi penggantian dan menaik taraf peralatan usang termasuk melibatkan kolej kediaman serta asrama di universiti awam seluruh negara dari tahun 2021 hingga 2025.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berkata, dalam tempoh sama, kementeriannya turut membelanjakan RM225 juta di bawah dana pembangunan bagi membaik pulih asrama sedia ada.
Katanya, sebanyak 15 projek kolej kediaman baharu menerusi inisiatif kerjasama awam-swasta yang berupaya menampung 45,000 pelajar, berjaya disiapkan di bawah projek berkenaan
“Kerajaan kini dalam perancangan membina lima lagi kolej kediaman baharu di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menggunakan pendekatan serupa, melibatkan kapasiti penempatan untuk 21,000 mahasiswa.
“Justeru menerusi Belanjawan 2027, agenda pemerkasaan kebajikan mahasiswa diteruskan dengan peruntukan RM800 juta untuk kerja penggantian serta menaik taraf kolej kediaman dan asrama di semua IPTA seluruh negara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) berhubung usaha menangani isu kekurangan penempatan pelajar kolej kediaman IPTA khususnya golongan B40.
Dalam pada itu, Zambry berkata, kementeriannya turut bekerjasama dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi memastikan pembinaan kolej dan asrama dapat dilaksanakan dengan lebih baik
“Sebagai contoh pembinaan projek residensi di Universiti Malaya (UM) yang dilancarkan Perdana Menteri baru-baru ini, dengan kapasiti 10,000 pelajar dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2031.
“Dalam belanjawan sama, kerajaan memperuntukkan RM750 juta bagi menjayakan projek Vista Kampus yang akan dilaksanakan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), sebelum diperluaskan ke IPTA lain,” jelasnya. – UTUSAN











