Kementerian Pertahanan akan perluas program pertanian JanaVeteran - Utusan Malaysia

Kementerian Pertahanan akan perluas program pertanian JanaVeteran

MOHAMED KHALED Nordin (dua kiri) membersihkan halia yang baru dituai sempena Program Tuaian Pertama Projek Halia KayTi JanaVeteran di Ladang Telok Sengat, Kota Tinggi disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan akan membenarkan Boustead Plantations Berhad menggunakan tanah milik kementerian yang belum dibangunkan untuk memperluaskan pelaksanaan program pertanian iaitu JanaVeteran.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif itu dapat menyumbang kepada dua fokus utama negara iaitu keterjaminan makanan serta memberi peluang pekerjaan kepada veteran tentera yang meminati bidang pertanian.

Katanya, ia secara tidak langsung turut memanfaatkan tanah-tanah milik kementerian yang telah lama tidak dibangunkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dengan kerjasama Kementerian Pertahanan, banyak tanah yang tiada perancangan akan dibangun untuk kita kembangkan program JanaVeteran, tidak semestinya Halia KayTi, tetapi macam-macam jenis tanaman mengikut kesesuaian negeri.

“Mungkin di tempat lain kita tanam lada dan sebagainya. Kita nak bantu keterjaminan makanan negara dan beri peluang tambah pendapatan kepada veteran,” katanya kepada pemberita sempena Program Tuaian Pertama Halia KayTi JanaVeteran dan Pelancaran JanaKomuniti di Felda Air Tawar 3, di sini hari ini.

Mengulas tentang JanaKomuniti, Parlimen Kota Tinggi itu berkata, Boustead Plantations Berhad boleh memperluaskan inisiatif ini kepada pemilik-pemilik tanah di dalam komuniti untuk menambahkan pendapatan melalui pertanian.

“Boustead mahu kembangkan kehadiran dalam sektor pertanian, dan ini memberi ruang kepada Boustead mencapai matlamat tersebut. Mereka boleh buka peluang kepada masyarakat setempat dengan kerjasama kerajaan negeri atau
individu untuk bangunkan tanah terbiar.

“Bagi menggalakkan penglibatan komuniti di Felda Air Tawar 2 dan 3, Boustead jaminan untuk membeli semula semua hasil tanaman mengikut spesifikasi ditetapkan bagi menyelesaikan isu pemasaran,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, usaha ini mampu menjayakan matlamat menjadikan Kota Tinggi sebagai Lembah Makanan Negara serta pengeluar utama Halia KayTi.

“Isu keterjaminan makanan dan kos bekalan tinggi perlu diberi perhatian serius kerana sebarang gangguan terhadap bekalan makanan negara boleh bertukar menjadi ancaman keselamatan bukan tradisional kepada negara, seperti jerebu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini