PETALING JAYA: Kes jangkitan saluran pernafasan atas dan radang mata meningkat berdasarkan pemantauan penyakit berkaitan jerebu di 78 fasiliti kesihatan terpilih di seluruh negara.
Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, perbandingan data Minggu Epidemiologi (ME) 39 dan ME 40 tahun ini menunjukkan kes jangkitan saluran pernafasan atas meningkat sebanyak 10.43 peratus, daripada 3,509 kepada 3,875 kes.
Menurut kementerian itu, kes konjunktivitis atau radang mata pula meningkat sebanyak 26.47 peratus, daripada 102 kepada 129 kes.
“Bagaimanapun, kes asma menurun daripada 535 kepada 462 kes, iaitu penurunan sebanyak 13.64 peratus.
“KKM akan terus memperkukuh pemantauan penyakit berkaitan jerebu memandangkan pendedahan kepada udara tercemar boleh menjejaskan kesihatan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai penyakit paru-paru dan jantung,” katanya dalam kenyataan.
Menurut KKM, jerebu berlarutan sejak beberapa minggu kebelakangan ini di beberapa kawasan tertentu, dengan tahap pencemaran udara berubah-ubah mengikut kawasan dan keadaan semasa.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat pukul 8 pagi ini, sebanyak 32 stesen pemantauan kualiti udara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, membabitkan lapan negeri dan dua Wilayah Persekutuan.
Johor mencatatkan lapan kawasan, diikuti Selangor (enam), Perak (empat), manakala Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang masing-masing tiga kawasan.
Kuala Lumpur pula merekodkan dua kawasan, manakala Putrajaya, Sarawak dan Pulau Pinang masing-masing satu kawasan.
Tiada kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat atau berbahaya.
Sehubungan itu, KKM menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan atau menangguhkan aktiviti di luar bangunan, khususnya aktiviti fizikal lasak di kawasan yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat.
“Aktiviti fizikal yang lasak meningkatkan kadar pernafasan dan jumlah udara tercemar yang disedut.
“Hadkan masa berada di luar bangunan dan gunakan pelitup muka yang sesuai seperti N95 sekiranya perlu berada di luar dalam keadaan berjerebu.
“Penganjuran aktiviti di luar bangunan perlu mengambil kira situasi jerebu semasa dan ditangguhkan apabila kualiti udara berada pada tahap tidak sihat,” katanya.
Kementerian itu turut menasihatkan orang ramai supaya menutup tingkap bagi mengurangkan kemasukan asap jerebu ke dalam rumah atau bangunan, tidak merokok serta sentiasa membersihkan persekitaran dalaman.
Menurutnya, individu yang mempunyai penyakit kronik, khususnya asma serta penyakit paru-paru dan jantung, perlu memastikan pengambilan ubat secara teratur.
“Dapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti sesak nafas, batuk yang semakin teruk atau kesukaran bernafas,” katanya.
KKM turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya memperlahankan kenderaan atau berhenti di tempat selamat sekiranya jarak penglihatan terhad, selain menyemak bacaan IPU secara berkala melalui saluran rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Katanya, kementerian akan terus memantau situasi jerebu serta kesannya terhadap kesihatan penduduk dan memastikan fasiliti kesihatan, bekalan ubat-ubatan serta petugas sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan yang diperlukan. – UTUSAN











