BN setuju kerjasama, bantu calon PN, lancar manifesto bersama

BN setuju kerjasama, bantu calon PN, lancar manifesto bersama

ASYRAF Wajdi ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) bersetuju untuk menggembleng kerjasama dan persefahaman politik dengan Pas serta rakan-rakan daripada Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Ketetapan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang turut memutuskan supaya seluruh jentera dan penyokong parti memberikan sokongan penuh kepada calon PN yang bakal bertanding dalam pilihan raya berkenaan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerjasama itu turut menyaksikan BN dan PN bersetuju melancarkan manifesto bersama serta menggerakkan jentera pilihan raya secara bersepadu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mesyuarat bersetuju sebulat suara untuk menggembleng kerjasama dan persefahaman politik dengan rakan strategik Pas serta rakan-rakan daripada PN bagi menghadapi PRN Melaka Ke-16.

“Sehubungan itu, seluruh jentera dan penyokong parti diarahkan supaya membantu sepenuh hati serta memberikan sokongan padu kepada semua calon PN yang bakal bertanding dalam pilihan raya kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Asyraf berkata, persefahaman politik itu dicapai bersama Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang diberikan mandat oleh kepimpinan gabungan berkenaan.

Katanya, kerjasama tersebut turut menyaksikan kedua-dua gabungan menggunakan satu manifesto pilihan raya, berbeza dengan pendekatan sebelum ini.

“Ada satu sahaja manifesto, tidak ada asing seperti mana sebelumnya.

“Manifesto sekali, jentera pun sekali, segala-galanya bersekali. Itu yang telah pun diputuskan,” katanya.

Menurutnya, manifesto bersama itu dirancang untuk dilancarkan selepas penamaan calon, tertakluk kepada sebarang perubahan yang akan dimaklumkan kemudian.

Dalam pada itu, beliau berkata, BN akan bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk dua kerusi diperuntukkan kepada MCA dan satu kepada MIC.

Katanya, baki tujuh kerusi pula akan ditandingi PN berdasarkan persetujuan yang dicapai antara kedua-dua gabungan.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada kepemimpinan PN untuk menentukan calon serta parti yang akan bertanding di tujuh kerusi berkenaan.

Asyraf Wajdi berkata, MKT UMNO turut menggesa kerajaan khususnya Kementerian Kewangan menarik balik arahan pembatalan projek pembangunan luar bandar yang berkepentingan rakyat terutama di Sabah dan Sarawak.

Katanya, perkara itu dibincangkan secara panjang lebar selepas wakil UMNO Sabah membangkitkan keresahan rakyat susulan pendedahan mengenai projek bernilai hampir RM8 bilion yang dibatalkan atau ditangguhkan.

“Semalam didedahkan hampir RM8 bilion nilai projek-projek berkepentingan rakyat luar bandar di Sabah dan Sarawak yang dibatalkan dan juga ada yang ditangguhkan.

“Kita menggesa Kementerian Kewangan agar mengambil cakna dan peduli yang serius untuk meneruskan dan menarik balik arahan perbendaharaan terhadap kementerian untuk membatalkan projek-projek terutama di Sabah dan Sarawak yang banyak terkesan,” katanya.

Projek terbabit termasuk pembinaan jalan luar bandar serta penyediaan bekalan air dan elektrik di kedua-dua negeri itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini