CANBERRA: Australia sedang mempertimbangkan pembelian peluru berpandu pemintas yang dibangunkan untuk sistem pertahanan udara Iron Dome Israel bagi mempercepat pembangunan sistem pertahanan udaranya.
Pegawai pertahanan berkata, Australia menyasarkan untuk memiliki sistem pertahanan peluru berpandu berasaskan darat menjelang awal 2030-an susulan perubahan pesat dalam corak peperangan di Ukraine dan Asia Barat.
Menurut laporan, perbincangan sedang dijalankan mengenai kemungkinan mendapatkan sistem pertahanan peluru berpandu Patriot buatan Amerika Syarikat (AS) serta peluru berpandu pemintas untuk Iron Dome yang dibangunkan syarikat Israel, Rafael Advanced Defense Systems.
Peluru berpandu pemintas itu turut digunakan dalam sistem baharu Kor Marin AS dan dihasilkan menerusi kerjasama dengan syarikat AS, Raytheon.
Sistem pemintas jarak sederhana yang dipasang pada trak itu diuji Kor Marin AS di Guam pada Jun lalu ketika latihan ketenteraan serantau yang turut disertai Australia.
Australia tidak membekalkan senjata kepada Israel, manakala rancangan membeli produk pertahanan negara itu turut mendapat perhatian politik.
Menteri kerajaan, Murray Watt, berkata kerajaan akan sentiasa berusaha mendapatkan teknologi ketenteraan yang paling sesuai.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mengenai perkara itu dalam satu sesi pendengaran jawatankuasa parlimen.
Sementara itu, Marsyal Udara Robert Chipman berkata, angkatan tentera akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan tahun depan selepas proses pemilihan kompetitif yang berkaitan dengan latihan ketenteraan Talisman Sabre pada 2027.
Jawatankuasa itu turut dimaklumkan mengenai peningkatan pencerobohan dron di pangkalan pertahanan Australia yang menimbulkan kebimbangan keselamatan.
Jumlah insiden meningkat daripada 19 kes pada 2022 kepada 204 kes tahun lalu.
Timbalan Setiausaha Pertahanan, Celia Perkins, berkata pihaknya bimbang untuk membezakan antara tindakan remaja yang sekadar melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab dengan ancaman keselamatan yang lebih serius.
“Terdapat peningkatan ketara dalam aktiviti dron,” katanya.- AFP











