Anwar kongsi kisah buah pala fahami integriti

Anwar kongsi kisah buah pala fahami integriti

ANWAR Ibrahim beramah mesra pada majlis penutup Forum Ekonomi Belia 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kisah empat biji buah pala yang diambil tanpa kebenaran ketika berusia 8 tahun di Bukit Mertajam, Pulau Pinang disifatkan sebagai antara pengalaman paling berharga buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memahami kepentingan disiplin dan nilai integriti.

Berucap pada Majlis Penutup Forum Ekonomi Belia 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini, jelas Anwar, pesanan neneknya membentuk dirinya ketika ini.

“Saya masa kecil, saya di Bukit Mertajam. Tapi kadang hujung minggu saya ke kampung Cherok Tok Kun, dusun kawan, kadang-kadang kita naik bukit di Bukit Mertajam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dia dah naik tu ada kebun buah pala, jadi sekali saya naik saya masih sekolah rendah, mungkin 8-9 tahun. Bila balik ada buah pala di ladang kecil tu, saya kutip bawa lari dan ambil.

“Saya balik ke rumah, nenek saya tanya, nenek saya nama Aisyah (dia kata) Anwar, ni buah pala ni dari mana? Saya ambil daripada ladang tanah kecil tu. Dia tanya saya beli dan ada kebenaran ke? Saya jawab tidak.

“Nenek saya tengah masa tu dah dekat pukul tujuh petang, Maghrib nak dekat gelap. Tahu nenek saya kata, Anwar, kalau ambil tanpa kebenaran daripada sesiapa jua walaupun empat biji buah pala, hukumnya itu curi dan mencuri itu dosa,” kongsinya dihadapan kira-kira ribuan belia yang hadir dalam forum itu.

Tambah Anwar, neneknya bertegas agar beliau menghantar kembali buah pala berkenaan ke ladang tersebut pada hari sama meskipun beliau mahu berbuat demikian keesokan harinya.

“Nenek saya kata, Anwar, curi orang punya hukumnya curi, jadi kena hantar balik. Saya kata dah malam
kawan-kawan dah balik rumah tetapi dia bertegas saya kena hantar.

“Saya berlari dari Jalan Kilang Ubi, masuk Jalan Kolam, naik bukit, bunyi anjing saya takut, sampai dalam tempat tu, saya ambil empat buah pala tu baling balik ke kawasan itu.

“Ya, sebab saya takut. Saya lari balik menangis kerana saya tak faham mengapa nenek saya begitu keras jaga disiplin padahal curi empat biji buah pala dan saya boleh hantar besok. Tapi itu mengajar saya, bila dah jadi Perdana Menteri, jangan curi dan jangan izinkan orang mencuri,”kongsinya lagi.

Perkongsian itu jelas Anwar perlu diambil sebagai pengajaran buat golongan belia di negara ini agar memastikan nilai dan integriti terpelihara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN