PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan segera susulan kematian seorang pelajar perempuan di dewan sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, petang semalam.
Beliau malah sudah mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Jika terdapat unsur jenayah, tindakan tegas hendaklah diambil mengikut undang-undang.
“Keselamatan anak-anak kita adalah tanggung jawab bersama. Kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook rasminya, hari ini.
Anwar pada masa turut menzahirkan dukacita selepas menerima berita pemergian mangsa dan berharap ahli waris dan keluarga arwah diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian yang amat berat itu.
Awal pagi tadi, negara dikejutkan dengan insiden seorang pelajar perempuan tingkatan empat yang ditemukan maut disyaki dibunuh di dalam sebuah sekolah, di Yong Peng, Batu Pahat, petang semalam.
Mangsa berusia 16 tahun ditemukan neneknya yang datang ke sekolah berkenaan selepas menyedari cucunya tidak pulang ke rumah kira-kira pukul 5.30 petang.
Difahamkan, mangsa tinggal dengan neneknya selepas ibunya meninggal dunia, manakala bapa bekerja di Kuala Lumpur. – UTUSAN











