SEOUL: Kumpulan Superkind, yang popular dengan lagu Moody, secara rasminya telah berpecah.
Perkara itu, diumumkan di platform X oleh syarikat rakaman yang menaungi mereka iaitu Deep Studio Entertainment.
Menurut Deep Studio, pembubaran Superkind susulan penamatan kontrak mereka bersama label terkemuka di Korea Selatan itu.
“Kami ingin memaklumkan bahawa kontrak yang dipersetujui bersama kumpulan Superkind, telah ditamatkan. Keputusan ini diambil hasil kesepakatan bersama.
”Kami berterima kasih kepada ahli Superkind atas dedikasi yang mereka tunjukkan sepanjang kerjasama ini.
”Kami berharap peminat akan terus memberikan sokongan kepada ahli kumpulan ini di masa akan datang,” umum pihak Deep Studio.
Superkind memulakan perjalanan seni mereka pada Jun 2022 bersama album PlaySuperkind: Apply for a Beta Test.
Kumpulan ini pada awalnya dianggotai lima anak muda iaitu Eujin, Geon, Daemon, Seijin dan SiO sebelum keanggotaan mereka bertambah dengan penyertaan anggota animasi, Seung dan JDV.- UTUSAN