KUANTAN: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mahu anak buahnya mengekalkan rentak kemenangan ketika bertemu Perak FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam ini.
Selepas membenam Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan jaringan besar, 6-0, di laman sendiri, Fandi berharap anak buahnya dapat mempamerkan aksi lebih baik untuk meraih tiga mata penuh.
Fandi akui, beliau masih mencari kesebelasan terbaik untuk perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 26 April ini, maka aksi menentang anak buah Yusri Che Lah menjadi medan untuknya membentuk skuad utama.
“Dengan berbaki dua perlawanan, saya akan melakukan perubahan dalam senarai pemain dan strategi berdepan Perak untuk mengelak daripada kecederaan.
“Sebelum ini saya tidak sempat untuk menyenaraikan beberapa pemain ketika menang 6-0 ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC Selasa lalu,” katanya.
Perlawanan malam ini akan memberi peluang kepada pemain Sri Pahang memberi aksi terbaik untuk merebut kesebelasan utama di final Piala Malaysia.
Ketika membaham Kedah FC, Fandi berpuas hati dengan prestasi Nor Azam Azih dan Mohamad Saiful Jamaluddin yang dibawa masuk babak kedua.
“Dengan perubahan strategi, saya dapat menilai prestasi pemain kerana mereka masih diberikan peluang untuk berada dalam skuad utama.
“Peluang yang diberikan itu diharap mampu diterjemahkan dengan cemerlang kerana berbaki dua perlawanan berdepan Perak dan Penang FC,” ujar Fandi.
Dua baki aksi Liga Super ini menjadi medan terbaik untuk Fandi menguji jentera serangan dan arkitek bahagian tengah memandangkan Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo tidak dapat beraksi pada aksi final.
“Sebab itu saya harap pemain yang diturunkan esok (malam ini) dapat mempamerkan persembahan yang terbaik untuk membolehkan mereka disenaraikan nanti dalam final Piala Malaysia.
“Tetapi kemenangan dalam dua baki aksi liga tetap menjadi keutamaan untuk menamatkan liga di kedudukan terbaik,” kata Fandi.-UTUSAN