BUDAPEST: Hungary mengumumkan penarikan diri daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), menjadikannya negara Kesatuan Eropah (EU) pertama berbuat demikian sejak penubuhan badan kehakiman tersebut.
Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas ketibaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Budapest untuk lawatan rasmi, walaupun beliau kini sedang diburu oleh ICC atas tuduhan jenayah perang di Gaza.
Menurut pegawai kanan kerajaan Hungary, keputusan itu adalah susulan daripada pendirian Perdana Menteri, Viktor Orban yang menganggap ICC sebagai ‘badan kehakiman bersifat politik’.
“Keputusan untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap pemimpin Israel jelas menunjukkan Mahkamah ini telah menyimpang daripada objektiviti dan menjadi alat tekanan politik,” kata Orban dalam sidang akhbar bersama Netanyahu.
Hungary, yang merupakan ahli pengasas ICC sejak perjanjian Statut Rom dimeterai, perlu menghantar notis bertulis kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memuktamadkan penarikan diri tersebut.
Penarikan itu hanya akan berkuat kuasa selepas tempoh setahun, mengikut Perkara 127 Statut Rom.
Langkah berani Hungary itu mendapat pujian segera daripada Netanyahu, yang menyifatkannya sebagai ‘keputusan tegas dan berprinsip’.
“Adalah penting untuk demokrasi mempertahankan diri daripada badan-badan antarabangsa yang korup seperti ini. ICC tidak lagi mempunyai kredibiliti,” katanya sambil menyifatkan tindakan Mahkamah itu sebagai anti-Semitik.
Pejabat Perdana Menteri Israel turut memaklumkan Netanyahu dan Orban telah berbincang bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenai langkah seterusnya dalam isu berkenaan.
Sehingga kini, serangan balas tentera Israel ke atas Gaza telah meragut lebih 50,000 nyawa rakyat Palestin, menurut angka terkini Kementerian Kesihatan Gaza. -AGENSI