MELAKA: Seorang pengarah syarikat bergelar Datuk Seri yang juga pemimpin kanan sebuah parti politik di Melaka direman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan selepas disyaki meminta dan menerima rasuah berkaitan kerja-kerja tambakan laut antara 2021 hingga 2023.
Perintah reman sehingga 20 April ini dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman terhadap suspek lelaki berusia 61 tahun itu.
Suspek memakai pakaian lokap berwarna jingga tiba di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 9 pagi semalam dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suspek ditahan pukul 4.55 petang kelmarin di Pejabat SPRM Melaka.
Menurut sumber, lelaki itu disiasat berhubung meminta suapan terhadap projek tambakan laut bernilai RM44 juta di Kota Laksamana, sejak lima tahun lalu.
Suspek dipercayai menerima suapan dalam bentuk harta iaitu empat buah kereta mewah.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard menerusi hantaran di platform Facebook memaklumkan penahanan seorang pemimpin parti itu oleh SPRM. – UTUSAN