SHAH ALAM: Inisiatif mewajibkan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah disambut baik sebagai langkah menyemai semangat patriotik dalam kalangan pelajar. Menurut Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Selangor, Tan Sri Zainal Dahalan, tindakan ini amat bertepatan memandangkan wujud insiden pihak tertentu memaparkan bendera negara secara tidak tepat.
“Tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak terlibat, namun yang lebih utama adalah mencegah perkara sama daripada berulang,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan Mubarak Selangor ke 22/2025 di sini hari ini.
Beliau turut mencadangkan agar subjek kenegaraan diperkukuh di semua peringkat pendidikan, termasuk universiti dan masyarakat umum.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa dua unit lencana Jalur Gemilang akan diberikan secara percuma kepada semua pelajar sesi 2025/2026, dengan pemakaian berkuat kuasa Isnin ini.
Mengenai Mubarak Selangor, Zainal berkata ia aktif menjalankan kempen bersama NGO serta Persatuan Veteran UMNO melalui gabungan GAVEM untuk memperkukuh perjuangan Barisan Nasional di Selangor menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning dan Pilihan Raya Umum Ke 16 (PRU-16) kelak. – UTUSAN